Malaysia Dateline

Kerajaan kaji dengan teliti sebelum sesuatu perkara baharu diperkenalkan

Kerajaan perlu mengambil masa secukupnya untuk mengkaji dengan teliti sesuatu perkara baharu sebelum ia diperkenalkan dan dilaksanakan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Wira Dr. Md Farid Md Rafik.

Beliau berkata kerajaan tidak akan terburu-buru untuk memperkenalkan sesuatu perkara baharu kerana masyarakat pelbagai kaum di negara ini mempunyai pandangan dan reaksi yang cukup berbeza.

“Ini kerana kita (kerajaan) amat prihatin tentang kesan perkara seperti ini yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian semua kaum. Kerajaan sentiasa berpegang teguh mempertahankan teras perlembagaan Malaysia yang menjadi paksi kepada kewujudan kemakmuran dan keharmonian antara masyarakat di negara ini.

“Kita tidak hendak membawa suatu perkara yang boleh menimbulkan kekacauan dan ketegangan di antara pelbagai kaum yang ada di negara ini. Perpaduan yang sedia ada yang telah dipupuk sekian lama perlu berlandaskan perlembagaan persekutuan,” katanya kepada Bernama selepas program Larian Perpaduan sempena sambutan Hari Toleransi Sedunia 2018 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah JPNIN Datuk Baharin Idris dan Pengarah JPNIN Negeri Sembilan Salasiah Hashim.

Katanya sejak akhir-akhir ini banyak isu-isu nasional yang dibangkitkan seperti isu Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang boleh menimbulkan ketegangan di antara kaum.

“Kerajaan telah memberikan pendiriannya dengan jelas mengenai isu ini yang mana kita akan mendengar ‘suara’ setiap lapisan masyarakat, sama ada kumpulan yang mempromosikan ICERD atau pun yang membantah ICERD.

“Memang kita ada aspirasi untuk melihat bagaimana konvensyen ini jika boleh digunapakai di Malaysia untuk ditandatangan. Bagaimana pun, kita masih lagi di tahap rundingan. Tetapi yang penting, seperti yang dikatakan, kita tidak ada had masa. Oleh itu, kita akan berunding dengan semua pihak dan mendengar dengan apa pandangan dan pendapat masyarakat.

“Jadi, kesesuaian konvensyen seperti ini perlu dikaji dengan sangat teliti. Oleh itu, kerajaan akan mengambil masa secukupnya untuk mengkaji sebelum membuat keputusan,” katanya.

Seramai 1,000 orang menyertai larian sejauh 3 kilometer itu yang bertujuan menjalinkan hubungan mesra dikalangan semua kaum.

— BERNAMA