Malaysia Dateline

Kerajaan kaji program bantu golongan berpendapatan rendah

Kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan satu program khusus bagi meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata program yang akan menggandingkan kerajaan dan sektor swasta, menyaksikan pihak swasta berperanan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan tersebut yang turut membantu membangunkan ekonomi negara.

“Perkara ini sedang dikaji dari segi bagaimana kita dapat memastikan keberkesanannya selain mewujudkan peluang perniagaan.

“Cadangan itu termasuk (mewujudkan) satu skim menambah pendapatan. Kerajaan akan mengkaji bagaimana kita dapat menambah pendapatan mereka bagi menggalakkan majikan mengambil khidmat pekerja golongan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) mengenai program bersepadu yang melibatkan semua agensi Kementerian Kewangan bagi membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini.

“Saya lebih berminat untuk mewujudkan program sebegini jika ada sumber kewangan. Ini kerana tumpuan program sedemikian akan memberi perbezaan yang ketara kepada pendapatan isi rumah atau keluarga tersebut dan sekali gus dapat membangunkan ekonomi,”?????? katanya.

Selain itu, mengulas Bantuan Sara Hidup, Lim berkata lebih 1.5 juta permohonan telah diterima untuk program itu setakat 3 Mac lepas yang merangkumi 310,000 permohonan baharu manakala 1.2 juta merupakan  permohonan yang dikemaskini.

“Jumlah sebenar permohonan itu belum dapat dikenal pasti kerana tarikh pendaftaran atau kemas kini BSH 2019 baru sahaja berakhir pada 15 Mac lepas.

“Sebagaimana diumumkan oleh kerajaan, BSH 2019 dijangka memanfaatkan lebih empat juta isi rumah dan melibatkan peruntukan hampir RM5 billion,” katanya.

Pendaftaran BSH bagi tahun ini telah dibuka mulai 1 Februari lepas.

Lim turut menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan semua bantuan kerajaan adalah berkesan dan menepati kumpulan sasar ditetapkan, terutamanya dalam kalangan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

— BERNAMA