Malaysia Dateline

Kerajaan Kedah adakan mesyuarat khas berkaitan Covid-19

Kerajaan negeri Kedah akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk mendapatkan perkembangan terbaharu mengenai penularan Covid-19 dan kesannya kepada ekonomi negeri itu, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menurut laporan Bernama.

Menteri Besar itu berkata, mesyuarat berkenaan akan dihadiri oleh semua peringkat, termasuk ketua-ketua jabatan, wakil daerah dan wakil rakyat, termasuk Pembangkang.

“Saya akan mempengerusikan mesyuarat itu sementara Jabatan Kesihatan dan Bahagian Perancang Ekonomi akan membentangkan perkembangan mutakhir dan kesan-kesannya terhadap ekonomi,” kata beliau selepas menghadiri program Iskoba Pekan Rabu Fun Ride 2020 semalam.

Dalam perkembangan yang sama Mukhriz berkata, beberapa program yang dianjurkan sektor swasta, termasuk program berbasikal di Langkawi telah ditangguhkan.

Namun demikian katanya, persidangan dewan undangan negeri yang dijadualkan pada 23 Mac ini akan diteruskan.