Kerajaan Kedah akan bantu sekolah agama

Kerajaan Kedah akan bantu sekolah agama
Dr Ismail menyampaikan bantuan sempena majlis Nuzul Quran di Ayer Hitam, Jerlun semalam.

Kerajaan negeri Kedah akan membantu sekolah-sekolah agama di negeri itu agar seiring dengan sekolah arus perdana.

Ini kerana pelajar sekolah agama adalah aset bernilai kepada masyarakat dan seharusnya dihargai dan dibantu, kata Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh.

Dr Ismail berkata demikian ketika berucap di majlis Nuzul Quran dan sumbangan sempena Aidil Fitri 2019 semalam.

Dalam majlis itu, sumbangan diserahkan kepada sekolah agama rakyat, pelajar miskin, yatim dan asnaf yang berkelayakan dari beberapa sekolah sekitar kawasan itu.

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Sekolah Agama Rakyat dengan kerjasama SMA Maahad Akademi Islam Kedah di Ayer Hitam, Jerlun semalam.

Dr Ismail berucap kepada guru dan pelajar sekolah agama.

Dalam ucapannya, Dr Ismail juga berkata, sekolah-sekolah agama hendaklah menumpukan usaha ke arah kecemerlangan dalam bidang akademik setanding dengan sekolah-sekolah lain.

Di samping itu pelajar juga hendaklah sentiasa menjadikan akhlak dan keperibadian mulia sebagai keutamaan kerana mereka akan menjadi pemimpin masyarakat di masa akan datang, katanya.

“Islam adalah merupakan agama rahmat kepada seluruh alam dan perlu diterapkan dalam pendidikan kepada pelajar-pelajar di sekolah agama.

“Sifat kasih sayang dan persaudaraan Islam serta kasih sayang sesama insan akan menjadikan negara kita sentiasa aman damai dan harmoni,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk kepada apa yang berlaku di Indonesia sekarang apabila kekacauan berlaku selepas keputusan pilihan raya diumumkan yang juga melibatkan pelajar sekolah agama.

Ia berlaku selepas kempen perkauman dan agama berlangsung di negara itu semasa pilihan raya baru-baru ini.