Malaysia Dateline

Mukhriz Mahathir 3

Kerajaan Kedah bertekad laksana projek ikonik dalam suku pertama 2020

Kerajaan Kedah bertekad untuk melaksanakan beberapa projek ikonik yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri, sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyatnya, dalam suku pertama tahun 2020.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, yang menyediakan peruntukan untuk projek-projek berkenaan, dan harapan kini disandarkan agar segala perancangan berjalan mengikut jadual.

“Kita tidak lagi boleh berada dalam mode perancangan sebab kebanyakkan projek-projek ini saya sudah umumkan ketika saya menjadi menteri besar kali pertama pada 2013 dahulu, jadi kini kita kenalah laksanakan,” katanya dalam satu temubual khas bersama Bernama dan RTM Kedah di sini.

Beliau berkata kelewatan pelaksanaan projek akan berlaku sekiranya peruntukan yang sudah diluluskan oleh Kementerian Kewangan, yang disalurkan kepada kementerian-kementerian berkaitan, lambat diuruskan.

“Kita tak mahu September baru mula kerja, boleh jadi bawa ke tahun seterusnya, jadi kalau boleh suku pertama 2020 dah ada kerja-kerja, katalah nak buat tender, semua tu diuruskan awal supaya kerja boleh mula dan rakyat akan nampak apa yang kita janji dah mula berlaku,” katanya.

Mukhriz berkata antara projek yang boleh dimulakan pada suku pertama 2020 adalah Kedah Science and Technology Park (KSTP) dan Hab Logistik di Bukit Kayu Hitam yang dikendalikan Northern Gateway Sdn Bhd, yang merupakan syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan.

“Di Bukit Kayu Hitam sangat aktif pembangunannya… Kedah Rubber City di Bukit Ketapang pun akan mula tahun depan. Kita dah jumpa pelabur-pelabur di forum dan persidangan antarabangsa berkaitan industri getah dan ramai yang menunjukkan minat.

“Kita jangka akan kenalpasti pelabur-pelabur ini dalam suku pertama dan kedua tahun hadapan dan saya berharap semua ini akan jadi kenyataan… kita akan saksikan perubahan dramatik berlaku di kawasan sempadan itu,” katanya.

Sementara itu mengenai taman teknologi tinggi sedia ada iaitu Kulim Hi-Tech Park (KHTP), beliau berkata taman teknologi yang beroperasi sejak 1996 itu merupakan salah satu projek paling berjaya di seluruh negara, khususnya di Kedah.

“Setakat ini sudah lebih kurang RM31 bilion dibelanjakan oleh pihak swasta dalam negara mahupun asing (di KHTP) dan sebanyak 27,000 peluang pekerjaan disediakan dengan 95 peratus terdiri daripada warga tempatan dan 80 peratus lebih adalah rakyat Kedah sendiri.

“Melihat kepada manfaat yang besar daripada KHTP, kita akan besarkan lagi taman teknologi itu dan kalau ikut perancangan KHTP akan sekali ganda diperbesarkan,” kata Mukhriz.

Sementara itu, katanya projek paling ikonik buat masa ini iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kini dalam proses menyediakan pelan induk dan Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) yang lebih terperinci dan prosesnya berjalan lancar.

“Tahun depan kita akan saksikan kerja-kerja awal dilaksanakan di KXP,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata hasrat dan perancangan kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai projek mega itu tidak akan dapat direalisasikan jika tidak mendapat sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan.

“Kalau satu-satu negara nak pesat, salah satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah negeri-negeri miskin dan kalau dibiarkan ia akan jadi seperti payung terjun di belakang kereta, macam mana nak sampai ke destinasi jika ada benda yang menghalang?

“Jadi tidak rugi jika kerajaan beri perhatian kepada negeri-negeri yang mundur dan Kedah adalah salah satunya. Kalau dibiarkan sendiri Kedah tak mampu kejar negeri-negeri lain dan perhatian kerajaan Persekutuan akan mencetus pertumbuhan negeri, akan bawa kemakmuran kepada negeri dan negara,” katanya.– BERNAMA