Kerajaan Kedah cari jalan bela nasib veteran ATM

Kerajaan Kedah cari jalan bela nasib veteran ATM

 

Mukhriz ketika disambut oleh veteran angkatan tentera semasa majlis persidangan Tahunan Perwakilan ke-39 Persatuan Veteran Angkatan Tentera cawangan Negeri Kedah di Alor Setar.

Kerajaan negeri Kedah memberi jaminan akan berusaha mencari jalan untuk membela nasib veteran angkatan tentera.

Demikian dizahirkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan kali ke 39 Persatuan Veteran Angkatan Tentera cawangan Negeri Kedah di Alor Setar, semalam.

Malah katanya kerajaan negeri Kedah dan rakyat turut mengucapkan jutaan terima kasih diatas perjuangan angkatan tentera terhadap tanah air.

“Dalam tempoh seminggu lagi kita akan meraikan sambutan kemerdekaan negara, maka jasa mereka yang telah berjuang harus dikenang kerana mempertaruhkan nyawa demi negara.

“Jasa perajurit harus dijulang dan dihargai kerana perjuangan mereka adalah untuk negara

“Sehubungan itu kerajaan negeri sedang menggariskan beberapa strategi untuk memakmurkan negeri ini melalui pelbagai usaha,” ujarnya.

Katanya lagi, Bandaraya Getah, Lapangan Antarabangsa Kulim, Taman Industri Sains dan Teknoloji serta Industri Aeroangkasa merupakan antara manfaat yang boleh dirasai juga oleh veteran angkatan tentera yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang vokasional.

Tegas beliau lagi, terdapat veteran angkatan tentera yang memerlukan kediaman, sakit dan pelbagai bantuan yang diperlukan.

Sejajar dengan itu kata beliau, Pusat Khidmat Parlimen dan juga Dun boleh dihubungi khususnya yang mewakili kerajaan bagi mendapatkan bantuan yang diperlukan oleh veteran angkatan tentera.

“Potongan bantuan geran tahunan sebanyak RM50,000 setahun sudah menjadi RM25,000 tidak sepatutnya berlaku.

“Kerajaan negeri Kedah akan membuat tambahan sebanyak RM30,000 bagi geran tahunan tersebut.

“Rentetan itu apa jua bentuk sokongan yang diperlukan oleh veteran angkatan tentera harus dimakumkan kepada kerajaan negeri, agar dokongan yang diperlukan dapat disalurkan,” tambah beliau lagi.