Malaysia Dateline

Kerajaan Kedah jangan amalkan layanan dua darjat

Negeri Kedah telah digemparkan dengan beberapa kluster jangkitan Covid-19 yang baru iaitu kluster Bah Rose, Bah Ketil dan Bah Lunas dimana ia amat membimbangkan serta wujud persoalan dalam kalangan rakyat negeri Kedah apakah ketiga-tiga kluster baru ini sebenarnya kluster ‘Super Spreader’ yang sama puncanya.

Demikian dizahirkan oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri Kedah, Mohammed Firdaus Johari.

Malah katanya lebih mengecewakan ia melibatkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Azman Nasruddin yang tidak membuat ‘swab test’ dan kuarantin diri sendiri setelah pulang dari Sabah selepas berkempen dalam pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini.

“Ekoran kecuaian tersebut isteri beliau yang juga merupakan guru di SK Permatang Janggus, Penaga, Kepala Batas telah disahkan positif Covid-19, sekaligus menyebabkan lebih 600 pelajar dan guru telah mengalami kesukaran kerana terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19.

“Lebih parah lagi apabila sekolah tersebut terpaksa ditutup selama lapan hari. Sehubungan itu AMK Negeri Kedah amat bersimpati dengan kesihatan beliau dan seluruh keluarganya serta mendesak ia supaya segera memohon maaf secara rasmi dan terbuka kepada seluruh rakyat Negeri Kedah termasuk semua ibu bapa serta guru-guru SK Permatang Janggus.

“AMK Negeri Kedah juga menuntut beliau supaya segera meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah kerana ia melibatkan integriti seorang pemimpin negeri yang perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang telah berlaku,” ujar beliau.

Tambah Firdaus lagi, Azman perlu didakwa dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ia juga berkata, kerajaan negeri Kedah harus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bersalah sebagaimana tindakan yang telah diambil terhadap individu yang menjadi punca bermula dan merebaknya kluster Sivagangga dahulu.

Tegasnya, kerajaan tidak patut mengamalkan sikap dua darjat. Ia harus dilayan dan dibicara dengan adil serta saksama. Manakala hak keadilan pula tetap mesti diberi keutamaan.