Malaysia Dateline

Kerajaan Kedah kini akui terpaksa memilih

Pesakit kronik di Kedah yang tiada harapan untuk sembuh tidak lagi akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana dilaporkan kekurangan jumlah katil di negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang memberitahu, pegawai perubatan bertugas terpaksa membuat penilaian berat memilih antara pesakit Covid-19 atau pesakit kritikal.

Menurut laporan Berita Harian, Mohd Hayati berkata, walaupun jumlah katil di ICU masih mencukupi, pihaknya bimbang jika pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit Covid-19.

“Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga, dalam sesetengah kes doktor terpaksa memilih mana perlu dihantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan dia ke ICU.

“Ini termasuk pesakit bukan kes COVID-19, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi sesetengah kes, bagaimanapun kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil,” katanya ketika dihubungi BH.

Mohd Hayati juga meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting.

“Kita perlu ingat hospital bukan saja merawat pesakit COVID-19, tetapi ada pesakit kencing manis dan lain-lain yang perlu rawatan serta pembedahan, selepas dibedah perlu dirawat di ICU terlebih dulu,” katanya.

Memetik BH, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Fikri Ujang pula berkata, sehingga kini 44 pesakit Covid-19 masih dirawat di ICU dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Seramai 11 pesakit dirawat di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, manakala bakinya di ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan ICU Hospital Sultanah Bahiyah 2 (HSB2).

“Daripada keseluruhan 44 individu dirawat di ICU, cuma tiga saja yang berusia bawah 50 tahun,” katanya.