Kerajaan Kedah pertimbangkan projek Lapangan Terbang Kulim

Kerajaan Kedah pertimbangkan projek Lapangan Terbang Kulim

Asmirul ketika berucap pada konvensyen pemuda AMANAH Kedah semalam

Projek lapangan terbang antarabangsa Kulim (KXP) tetap diberi pertimbangan yang sewajarnya walaupun negara sedang menghadapi kekangan kewangan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris ketika ditemui selepas Konvensyen Pemuda AMANAH Negeri Kedah semalam.

Jelas beliau lagi, kewujudan lapangan terbang tersebut adalah suatu keperluan bagi kemudahan rakyat negeri Kedah.

Oleh kerana itu ujarnya, proses bagi merealisasikan impian ini masih lagi diteruskan walaupun ia mengambil sedikit masa untuk menjadi kenyataan.

“Rancangan pembinaan KXP tetap berada dalam senarai perancangan.

“Ia bukan saja akan memudahkan perjalanan dari Kulim ke Georgetown sebaliknya untuk ke destinasi-destinasi lain.

“Selain menjadikan projek KXP sebagai suatu realiti, projek-projek lain yang telah lama dicanang-canangkan tetap akan diteruskan oleh kerajaan negeri, ” tegasnya.

Menurut Asmirul lagi projek Bandaraya Getah atau Rubber City sepertimana yang dijanjikan sejak zaman pemerintahan BN dulu juga tidak akan dikesampingkan.

Malah katanya, projek yang mempunyai kepentingan tersebut akan dilaksanakan sedaya mungkin kerana ia mampu membuka peluang pekerjaan yang begitu luas kepada penduduk tempatan.

“Kerajaan negeri tetap akan meneruskan beberapa projek yang telah pun disenaraikan dalam perancangan.

“Walau bagaimana pun ia masih lagi bergantung kepada kedudukan kewangan termasuklah sokongan dari kerajaan pusat.

“Mana-mana projek yang mempunyai kepentingan bagi rakyat seperti lapangan terbang antarabangsa KXP tetap menjadi perkiraan, ” ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan exco kerajaan negeri turut berkata, projek pembinaan Hospital Pendang yang pernah dilaung-laungkan oleh kerajaan BN tetapi tidak menjadi realiti akan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan.