Malaysia Dateline

Kerajaan Kedah teliti ganti pengusaha tanaman ketum ke tanaman alternatif

Kerajaan negeri Kedah sedang berusaha dengan teliti untuk memperkenalkan inisiatif baru bagi pengusaha tanaman ketum di negeri ini untuk menukar tanaman tersebut kepada tanaman alternatif yang mampu untuk lebih berdaya saing serta kebolehan pasaran.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah di Alor SetarĀ  pada Ahad.

Jelasnya, kerajaan negeri turut berusaha bagi mencari kaedah lain yang boleh membantu pengusaha tanaman ketum supaya menukar jenis tanaman mereka.

“Juga dibincangkan ialah mengenai proposal berkaitan dengan subsidi benih bagi tanaman gantian tersebut.

“Ini termasuk juga bantuan dalam bentuk geran maupun pinjaman.

“Selain itu ia turut menyentuh mengenai penyediaan platform pemasaran serta insentif bantuan sara hidup, ” tegasnya.

Malah tambah Mukhriz lagi, tanaman alternatif yang mempunyai nilai pasaran yang tiggi sudah pasti menjadi tumpuan.

Disamping itu katanya, nilai pasaran yang tinggi, peluang pasaran yang luas serta permintaan dalam dan luar negara juga menjadi keutamaan.

Ujar beliau lagi, inisiatif serius yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah bagi memperkenalkan tanaman alternatif kepada pengusaha tanaman ketum mendapat perhatian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Lebih menarik apabila agensi tersebut jua berhasrat untuk memperluaskan model yang sama ke negeri-negeri lain.

“Pelaksanaan Projek Rintis Menangani Masalah Dadah Substan dan Pelencongan Sosial yang dilaksanakan oleh AADK di tiga kawasan di Kedah sejak Julai lalu menampakkan kesan positif.

“Walau bagaimana pun kerajaan negeri akan terus komited membanteras penyalahgunaan dadah.

“Tumpuan akan diberikan kepada kawasan yang berisiko tinggi agar ia dapat dikategorikan semula sebagai kawasan kurang berisiko dadah, ” kata beliau lagi