
Kerajaan Kelantan akan beri penerangan rasionalisasi mengehadkan operasi restoran,warung
Kerajaan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberi penerangan berhubung rasionalisasi mengehadkan waktu perniagaan warung dan restoran sehingga jam 12 tengah malam sebelum ia dilaksanakan tahun hadapan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia bagi memastikan rakyat dan peniaga negeri ini memahami tujuan sebenar ia dilaksanakan.
“Perkara ini sebenarnya telah termaktub sejak dahulu lagi iaitu waktu berniaga hanyalah sehingga 12 malam dan tiada sebarang aktiviti boleh dijalankan selepas itu hingga pukul enam pagi.
“Cuma setakat ini tiada sebarang penguatkuasaan dilaksanakan walaupun pada 2015 Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) telah mengeluarkan pekeliling berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Katanya, penerangan berhubung pelaksanaan undang-undang itu akan dilakukan oleh urusetia penerangan negeri dan PBT dalam tempoh tiga bulan sebelum ia dilaksanakan tahun hadapan.
Mohd Amar berkata peraturan itu masih di peringkat dasar dan PBT akan memperhalusi perkara itu dari segi pelaksanaan dengan mengambil kira premis yang beroperasi 24 jam termasuk 7 Eleven, KFC dan pasar borong Wakaf Che Yeh.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata pelancong yang datang ke Kelantan juga harus mengikuti peraturan itu yang katanya telah diamalkan di kebanyakan negara maju.
Beliau berkata pendekatan yang diambil itu juga mengambil kira pandangan pihak polis yang menyatakan operasi premis makanan antara faktor berlakunya masalah sosial di negeri ini.– BERNAMA