Malaysia Dateline

Kerajaan Kelantan digesa tingkatkan perolehan dan pemberian vaksin pada rakyat

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim mendesak kerajaan Kelantan supaya lebih cakna kepada kebajikan rakyat dengan meningkatkan perolehan dan pemberian vaksin Covid-19 di negeri itu.

Mengulas isu keengganan kerajaan negeri untuk membuat pembelian vaksin bagi mempercepatkan proses perolehan dan pemberian suntikan, iHafidzah berkata tindakan itu seolah melambangkan sikap ketidakcaknaan kerajaan negeri kepada rakyat.

“Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan negeri yang sudah memerintah berpuluh tahun, Pas mesti ada iltizam dan kesungguhan untuk memberi vaksin kepada rakyat, sesuai dengan slogan membangun bersama Islam yang diwar-warkan selama ini.

“Kelantan kini mencatatkan jumlah jangkitan mencapai tiga angka setiap hari, adalah tidak masuk akal jika kerajaan Pas Kelantan hanya mengharapkan bantuan dari kerajaan Pusat semata-mata”, bidas beliau yang juga seorang pengamal perubatan di sebuah klinik dalam Kota Bharu.

“Sejumlah peruntukan untuk membeli vaksin bagi mempercepat proses perolehan dan pemberian suntikan itu kepada rakyat wajib diusahakan oleh kerajaan negeri, bukan sekadar menyerahkan nasib rakyat kepada PKP sahaja” tambahnya lagi

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri itu tiada perancangan untuk membuat pembelian tambahan vaksin Covid 19 bagi negeri itu.