Malaysia Dateline

Kerajaan Kelantan disaran beli SKMK, rakyat dapat naik bas percuma

Isu mogok yang melibatkan pemandu bas henti-henti rentas desa ‘City Liner’ kembali berulang, 28 Januari lalu ramai penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas tersebut terpaksa mencari alternatif lain untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Ini merupakan kali kedua ia berlaku dalam tempoh sebulan. Mogok itu dilakukan para pemandu bas selepas tindakan kali pertama pada 17 Disember lepas ekoran tidak dibayar gaji selama dua bulan.

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Rushdan Mustafa berkata, pihak Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) haruslah melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini sebelum ianya bertambah parah.

“Demi kemaslahatan pemandu dan juga penumpang pihak berkenaan perlu membuat sesuatu yang drastik kerana masih ramai lagi rakyat negeri ini menggunakan perkhidmatan bas terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya,  walaupun SKMK bukan lagi di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, tetapi kerajaan negeri perlu mengambil tindakan pro aktif menggerakkan usaha untuk bersuara, berbincang dan merangka pelan tindakan kerana SKMK adalah ‘trade mark’ pengangkutan awam di Kelantan sejak sekian lama.

Jika perlu, katanya Kerajaaan negeri boleh menyalurkan sejumlah dana kecemasan dan jika perlu penyelesaian oleh kerajaan pusat, kerajaan negeri hendaklah segera berunding dengan kerajaan pusat.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan negeri campur tangan dengan mengambil alih SKMK kemudian memberi perkhidmatan bas percuma kepada rakyat Kelantan sepertimana yang dilaksanakan di Selangor pada hari ini.

Di samping itu beliau mengingatkan agar kerajaan Kelantan tidak melupakan begitu sahaja hasrat memperkenalkan bas elektrik yang pernah di war-warkan pada tahun 2017 lalu.

Dalam pada itu, seorang pemilik akaun facebook Faisal AbdulRahim turut berpendapat agar kerajaan negeri Kelantan membeli syarikat bas tersebut kemudian memberikan perkhidmatan bas percuma kepada rakyat Kelantan seperti yang terdapat di Selangor dan Johor.

“Ambo rasa Kelantan sekarang sudah bergelar negeri kaya tidak seperti 20 hingga 30 tahun dulu. Sudah banyak pembangunan sedang pesat berkembang di Kelate. Malah terkini Kelantan dapat peruntukan sebanyak RM400 juta oleh Kerajaan Pusat, malah dikatakan kerajaan Kelate mempunyai ‘wang berlebihan’ belanjawan- belanjawan lepas hingga membolehkan setiap Adun menerima ‘hadiah’ RM50 ribu setiap seorang, dapat mercedes sebijik sorang lagi.

“Kerajaan negeri Kelate boleh tetapkan peraturan, bas percuma untuk rakyat Kelate sahaja, jadi kena bawa IC & drebar kena check kod lahir 03. Jika selain daripada itu maka harga tiket akan dikenakan kepada penumpang selain rakyat Kelate & warga asing,” kata bekas pelajar di Maahad Muhammadi Kota Bharu Kelantan.

Lebih 60 buah bas yang sepatutnya memulakan perkhidmatan seawal pukul 6.00 pagi 28 Januari lalu tidak kelihatan di stesen bas berkenaan, difahamkan pemandu bas syarikat terbabit tidak dibayar gaji sejak dua bulan lepas.

Ekoran tindakan mogok ini menyukarkan pengguan yang menggunakan perkhidmatan sebagai pengangkutan awam, mereka terpaksa menggunakan pengangkutan alternatif seperti Grab dan kereta sewa yang mahal hingga mencecah RM80 untuk perjalanan Kota Bharu ke Jerteh. Jika dengan bas tambang hanya RM6.20