Kerajaan Kelantan tidak mampu bayar gaji penjawat awam, dakwa Guan Eng

Kerajaan Kelantan tidak mampu bayar gaji penjawat awam, dakwa Guan Eng

Kerajaan negeri Kelantan didakwa tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya dan dibantu oleh kerajaan persekutuan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata fakta ini pernah disebutkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa Kelantan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk membayar gaji kakitangan awam maka sudah semestinya tidak mampu untuk mengambil alih pembinaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Ini berikutan apa yang disebutkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib  Razak. Saya rasa semua ini ada salinan, boleh tengok memang kerajaan Kelantan tak mampu bayar gaji kakitangan awam.

“Perkara ini daripada dulu lagi lah, dan baru-baru ini saya pun telah luluskan satu jumlah peruntukan untuk membantu Kelantan,”

“Baru-baru ini saya telah meluluskan peruntukan untuk membantu kerajaan Kelantan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini dalam kenyataan.

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, sama ada negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang boleh meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sendiri jika kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membatalkan projek itu.

“Berkenaan Kelantan, Terengganu ingin ambil alih jika (kerajaan batalkan projek ECRL) saya tunggu surat jika mereka mahu berbuat demikian.

“Saya fikir macam mana Kelantan mampu buat bila gaji perkhimatan awam tak boleh bayar,” katanya.

Kenyataan itu dibantah oleh beberapa Ahli Parlimen BN dan Pas yang meminta Lim menarik balik kenyataan itu.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk meminta Lim menarik balik.

“Jangan tuduh-tuduh tak boleh bayar, Yang Berhormat (YB) tarik balik. Itu sangkaan buruk,” katanya.

Takiyuddin pula meminta Lim mengemukakan bukti tahun bila Kelantan tidak membayar gaji penjawat awam mereka.

Bagaimanapun, Ariff berkata kenyataan Lim itu tidak perlu ditarik balik dan meminta sekiranya mahu penjelasan lanjut, Lim kemukakan kenyataan di luar Dewan Rakyat.

“Saya telah buat keputusan, kalau isu berbangkit lagi, selesaikan di luar,” katanya.