Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penyaluran wang ihsan kepada negeri tersebut.
Penyaluran dana tambahan bernilai RM177.96 juta itu menjadikan jumlah keseluruhan wang ihsan diterima dari Kerajaan Persekutuan adalah RM217.96 juta pada tahun ini.
Penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Besarnya, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.
Dalam kenyataan tersebut, Nussuruddin turut menyambut baik pengumuman Anwar berkaitan kelulusan peruntukan bernilai RM6 juta bagi membina benteng sementara.
Peruntukan segera itu akan memberi manfaat kepada kelangsungan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Rantau Panjang.
Nussuruddin turut menyokong keputusan kerajaan mengenai proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM 910.52 juta yang akan dimulakan tahun depan.
“Kerajaan Negeri pula akan mengambil segala langkah yang perlu untuk menyegerakan urusan berkaitan pengambilan semula tanah untuk projek-projek ini.
“Kerajaan Negeri yakin, pengumuman tersebut akan memberi manfaat demi kesejahteraan rakyat negeri Kelantan sekaligus memperkukuhkan semangat federalisma antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan
“(Pengukuhan ini) selari dengan budaya politik matang dan sejahtera.” Tulis Nassuruddin yang turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri I itu.
Terdahulu, Perdana Menteri pada 28 Disember lalu mengumumkan kerajaan bakal menyalur bantuan segera berjumlah RM50 juta kepada mangsa banjir di Kelantan.
Menerusi bantuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu, setiap keluarga terjejas difahamkan bakal menerima saluran ‘terus’ sebanyak RM1,000.
Bukan itu sahaja, bantuan tambahan juga turut menyusul selepas segala kerosakan dan kerugian akibat banjir ini disahkan oleh pegawai yang dipertanggungjawabkan.
Baca juga: Tiada sambutan ambang tahun baru, kerajaan Perseketuan hormati rakyat Palestin, mangsa banjir