Malaysia Dateline

Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ tawarkan pembangkang anggotai MPN

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Perdana Menteri kesembilan yang dilantik tanpa melalui proses pilihan raya itu berkata,
kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan.

Hal tersebut, jelasnya, termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti kerana kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan semua ketua parti politik melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat ketika sesi menghadap baru-baru ini.

“Semua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana.

“Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan,” katanya dalam ucapan pertama secara langsung hari ini.

Dalam masa sama, Naib Presiden Umno itu berkata, peralihan dua kerajaan dan dua Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan sebagai landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

Sehubungan itu, Ismail Sabri mengajak semua pihak supaya bergerak ke hadapan, meleraikan segala perebutan kuasa politik dan berjuang sebagai sebuah keluarga besar merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaik, merawat serta memulihkan semula tanah air.