Malaysia Dateline

Kerajaan Keluarga Malaysia yang terus gagal

Berkali-kali dan berterusan begini jugalah perangai pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN), dan kini Keluarga Malaysia (KM). Namun begitu, berkali-kali dan berterusan juga tidak diambil iktibar, atau diingati rakyat terbanyak negara kita, sebaliknya kekal dibohongi, serta dianiayai.

Tidak kira selepas Pilihan Raya Umum (PRU), atau pun Pilihan Raya Negeri (PRN), dan Pilihan Raya Kecil (PRK), kesan buruknya merata – mengenai semua rakyat.

Ketika rakyat bingung dan marah dengan kenaikan mendadak harga barang keperluan harian yang seperti dipandang ringan oleh kerajaan KM, timbul dan panas semula isu tanah di Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

Pada 2019, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ketua pembangkang mengatakan kerajaan tidak berhak mengambil tanah di Kampong Bharu untuk tujuan komersial kerana itu melanggar undang-undang.

Walau bagaimanapun pada 2021, sewaktu menjadi Perdana Menteri (PM) kerajaan KM, Ismail berubah 360 darjah. Beliau memaksa penduduk kampung tersebut keluar dari tanah mereka dengan menggunakan Warta Seksyen 8.

Pada Januari 2019, semasa Khalid Samad menjadi Menteri Wilayah Persekutuan kerajaan PH, beliau menawarkan harga RM850 sekaki persegi untuk tanah di Kampong Bharu.

Namun demikian, pemimpin BN membantah dan mengatakan nilai tersebut rendah. Mereka menghasut penduduk kampung dengan mendakwa harga yang sepatutnya adalah RM3,000 sekaki persegi!

Empat bulan kemudian, kerajaan PH menaikkan harga kepada RM1,000 sekaki persegi. BN yang disertai Pas tetap membantah dengan menegaskan jumlah tersebut masih rendah, dan tidak wajar kerana tanah orang Melayu.

Pada Jun 2019, BN mendakwa harga yang sepatutnya pula adalah RM3,000 sekaki persegi. Akibat ‘pengkhianatan Langkah Sheraton’, berlaku tragedi perubahan kerajaan pada Mac 2020 dengan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara bersama-sama BN.

Lima bulan kemudian, BN mengatakan tiada pembelian RM1,000 sekaki persegi seperti yang ditawarkan oleh Kerajaan PH tanpa sebarang alasan. Pada September 2020, penduduk Kampong Bharu terkejut apabila kerajaan PN/BN tidak menawarkan RM3,000 sekaki persegi seperti yang dicanangkan.

Beberapa hari lalu, penduduk kampung tersebut berdemonstrasi lagi membuat bantahan setelah menerima arahan perpindahan dan pengambilan tanah dengan harga murah, iaitu hanya kira-kira RM400 sekaki persegi sahaja.

Arahan tersebut bermula pada Julai 2021 yang lalu apabila penduduk di Kampung Sungai Baru menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dengan pampasan.

Jika dilihat dengan teliti, sebenarnya BN tidak menawarkan RM3,000 sekaki persegi itu. Ia hanya menghasut dan cuba menggoyahkan hati penduduk Kampong Bharu, lantas mendorong mereka mengatakan kerajaan PH berbohong mengenai nilai sebenar.

Kalau benar sebanyak itu nilainya, saya fikir BN tidak akan membuat tawaran berkenaan. Meskipun penduduk Kampong Bharu seolah-olah tertipu, tetapi perubahan kerajaan bukan kerana undi mereka. Belum ada PRU15 selepas PRU14.

Mendakwa tanah sekaki persegi bernilai RM3,000 adalah kelicikan dan kejahatan BN

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, tanah di Kampong Bharu bernilai tinggi kerana ia berhampiran dengan Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCC).

Jadi, ia sepatutnya bernilai RM3,000 sekaki persegi berbanding RM850 yang kerajaan PH tawarkan. Tawaran tersebut berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta atau JPPH.

Tan Sri Annuar Musa dalam ciapannya menerusi akaun Twitter pada 23 September 2019 menegaskan RM850 tidak berbaloi kerana Kampong Bharu adalah kawasan yang telah dibangunkan dengan segala prasarana.

Undang-undang, kata Annuar, memberikan hak kepada pemilik memperoleh harga pasaran. Jadi, katanya kerajaan PH jangan mendiskriminasi. Lagipun, yang membelinya bukan pihak swasta, tetapi kerajaan.

Sebenarnya, Najib dan Annuar tidak faham. Khalid menjawab dengan mengatakan RM3,000 sekaki persegi di sekitar KLCC adalah harga yang telah dibangunkan, dan tiada sekatan pemilikan.

Kerajaan PH menawarkan harga RM850 sekaki persegi kerana syarat pemilikan hanya orang Melayu, dan belum dibangunkan. Selepas dibangunkan, jelas Khalid, barulah nilainya akan lebih tinggi.

Isu Kampong Bharu ini menambah lagi beberapa kegagalan dalam tempoh 100 Hari kerajaan KM pimpinan Ismail

Apakah yang boleh dibangga dan diharapkan lagi oleh rakyat?

Dengan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, dan Datuk Seri Ahmad Mazlan dibebaskan daripada dakwaan rasuah, Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor boleh ke luar negara, serta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibenarkan ke Jerman walaupun mereka masih dibicarakan, kes kluster ‘mahkamah’ digugurkan, kluster mahkamah dilantik sebagai penasihat, dan harga barangan keperluan naik melambung, kerajaan KM Ismail memang gagal!

Kegagalan terbaharu yang turut dikesali pula tercatat semasa program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenakan denda RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) kepada penganjur program tersebut pada hari pertama kerana gagal memastikan penjarakan fizikal, dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

Kunjungan singkat saya yang tanpa dirancang pada hari kedua mendapati agak ramai anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di KLCC. Didapati juga pengunjung berbaris panjang, dan berpusu-pusu.

Saya menyangka program berkenaan mendapat sambutan hangat. Rupa-rupanya yang datang bersesak-sesak itu mengambil peluang membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Pengangkutan Jalan yang diberikan potongan sebanyak 80 peratus!

Tidak dinafikan ada yang benar-benar mengunjungi program berkenaan, tetapi keadaan semakin tenang selepas anggota PDM memberitahu kaunter membayar saman telah ditutup (lebih awal) untuk mengelakkan keadaan lebih sesak.

Saya fikir langkah membuka kaunter saman diskaun itu ada keburukan dalam kebaikannya. Tujuannya baik, tetapi menimbulkan keburukan pula. Tawaran diskaun tersebut telah menyebabkan KLCC diserbu orang ramai semua bangsa, dan prosedur operasi standard (SOP) yang sukar dikawal, terus terabai.

Oleh kerana insiden hari pertama itulah agaknya anggota FRU dimunculkan pada hari kedua dan mungkin sehingga hari terakhir acara sambutan tersebut.

Adakah suasana di KLCC itu menunjukkan orang ramai lebih berminat membayar saman diskaun, dan bukan meraikan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia?

Mungkin benar mungkin tidak. Walau bagaimanapun, di depan mata saya, ramai yang berlalu pergi setelah diberitahu oleh anggota PDRM kaunter bayaran saman telah ditutup!

Penganjur program itu adalah Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Jabatan Perdana Menteri. Ismail melancarkan program tersebut dan Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut hadir.

Malulah program aspirasi Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Ismail sendiri melanggar SOP!

Lim Kit Siang juga menganggap pelanggaran SOP tersebut memalukan, dan menuntut Ismail memohon maaf. Veteran DAP itu juga meminta menteri bertanggungjawab meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan sekiranya PM tidak bangkit dalam memerangi Covid-19, bagaimana Kabinet boleh bangkit memerangi wabak tersebut?

KKM memaklumkan jumlah denda RM1,000 adalah nilai maksimum yang dibenarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Lim turut menyifatkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap penganjur terlalu ringan. Bagi beliau, jumlah tersebut adalah kemuncak kegilaan dalam mengenakan denda bagi pelanggaran besar-besaran SOP Covid-19 pada program sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia itu.

Sebelum ini, denda maksimum dikenakan sebanyak RM10,000 bagi individu, dan RM50,000 bagi syarikat di bawah Ordinan Darurat.

Walau bagaimanapun, selepas Ordinan Darurat ditarik balik, jumlah denda yang tinggi berkenaan telah dimansuhkan.

Tambah Lim, kurangnya kesungguhan Kerajaan menjadi faktor Malaysia masih bergelut untuk mengurangkan kes harian Covid-19 di bawah 4,000 sehari dalam tempoh tujuh bulan lalu.

Sebaliknya, Lim merujuk kejayaan Indonesia yang berjaya menurunkan kes harian wabak tersebut kepada tiga angka sejak 15 Oktober lalu. Pengkritik turut mengecam tindakan ‘dwistandard’ kerajaan terhadap penganjur program berkenaan.

Pemberian 90 peratus oleh Ismail untuk prestasi 100 hari Kabinetnya, tambah Lim, menjadikan Malaysia sasaran baharu jenaka dan penghinaan di mata dunia.

Ketika berucap merasmikan program berkenaan, Ismail mengatakan prestasi keseluruhan jemaah menteri mencapai kejayaan sekitar 90 peratus.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai secara sinis mempersoal apakah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari pentadbiran kerajaan adalah bagi meningkatkan jumlah kes Covid-19.

Koh kesal apabila kerajaan dilihat terlalu mencari publisiti pada program itu walaupun negara berdepan kebimbangan penyebaran varian Delta dan Omicron. Khidmat pesanan ringkas turut dihantar kepada orang ramai untuk meminta mereka hadir bagi memeriahkan acara berkenaan.

Jadi, perangai dan tabiat para pemimpin BN secara keseluruhannya tidak berubah. Walau bagaimanapun, mengapa BN, khususnya Umno masih menjadi pilihan rakyat?

Benarkah BN dipilih sebagai satu romantisme Melayu terhadap Umno yang kekal tradisionalis, konservatif, dan feudal? Jadi, rasuah, ekonomi antarabangsa, penyelewengan kuasa, dan perkara lain yang dibawa oleh PH secara umumnya bukan isu yang menyentuh perut masyarakat?

Kemenangannya pada PRN Melaka, 20 November lalu membuatkan BN angkuh dan mendabik dada semula, serta kekal dengan budaya lama kerana tidak menerima apa-apa kesan buruk. Ternyata rakyat tetap memilih mereka.

Umno telah menyifatkan PRN Melaka sebagai kemenangan besar baginya yang boleh memangkin kejayaan pada PRU15 nanti, walaupun Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Kesihatan Malaysia, perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi, sebelum memutuskan akan bergerak secara solo, atau sebaliknya pada PRU15.

Hakikat cuma 65 peratus sahaja keluar mengundi pada PRN Melaka, tambah Khairy, perlu diterima. BN, katanya, perlu memikirkan sama ada Melaka merupakan representasi kepada PRU15 atau tidak sebelum membuat sebarang keputusan.

Justeru, eloklah jika persediaan PH untuk pertarungan seterusnya bermula sehari selepas PRN Melaka. Tetapkan semula, dan suntik faktor pengubah (game-changer) yang baharu ke dalam politik nasional untuk memberikan harapan kepada rakyat, dan agar mereka terus melihat PH sebagai obor yang membawa harapan.


Rayusa seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air