Kerajaan kena bayar Zunar RM18,000 rosakkan lukisan, buku kartun

Kerajaan kena bayar Zunar RM18,000 rosakkan lukisan, buku kartun

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintah kerajaan membayar RM18,000 kepada kartunias Zunar sebagai ganti rugi kerana merosakkan lukisan kartun aslinya dan buku “Cartoon-O-Phobia” tujuh tahun lalu.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque menamakan kerajaan, dua anggota polis yang merampas buku-buku kartun dan karya seninya, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Kementerian Dalam Negeri sebagai defendan dalam samannya.

Zunar ditangkap pada 24 September 2010 dan sebuah lukisan yang menggambarkan karektor Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bersama buku baharu ketika itu, ‘Cartoon-O-Phobia’ dirampas.

Selepas saman Zunar pada November 2014, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Julai 2012 yang mengarahkan polis memulangkan lukisan dan buku-buku tersebut kepada beliaut tetapi lukisan tersebut telah rosak teruk apabila diterimanya.

Dalam kenyataan kepada media hari ini, Zunar menegaskan bukan soal wang pampasan yang menjadi keutamaannya sebaliknya keputusan ini adalah satu pengajaran kepada polis dan kerajaan Malaysia bahawa menggunakan undang-undang jenayah secara wewenang adalah tidak dapat diterima dan berniat jahat.

“Ia juga bukti jelas bahawa tajuk buku kartun saya, “Cartoon-O-Phobia” adalah perkataan yang tepat untuk menggambarkan watak kerajaan Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, rampasan lukisan kartun di bawah undang-undang jenayah seperti Akta Hasutan adalah menyalahi hak asasi kartunis dan hak kebebasan bersuara.

“Untuk menahan lukisan tersebut dalam lokap polis selama lima tahun dan merosakkannya adalah merupakan kesalahan yang lebih besar. Ia adalah satu bentuk intimidasi dan kejahilan dalam menghormati kerja seni,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zunar juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang supaya polis memulangkan lebih 40 karya kartun beliau yang dirampas dan masih di lokap polis di Pulau Pinang sejak November 2016 yang juga disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Tindakan sama juga akan diambil mengenai 1,300 buah buku saya yang dirampas oleh polis Kuala Lumpur dan masih dalam tahanan mereka juga sejak November tahun lepas kerana diakatakan “Mengancam Demokrasi Berparlimen”,” katanya.

Share
TAGS