Malaysia Dateline

Kerajaan kini lumpuh ekoran tanda tanya bubar atau tidak, kata Ahli Parlimen veteran

Adakah Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat atau tidak kini menjadi tumpuan rakyat negara ini yang jika ia berterusan boleh merencatkan ekonomi dan kestabilan negara.

Ini kerana, tanpa keputusan yang jelas, para menteri dan timbalannya kini tidak tentu arah apakah mereka akan kekal atau tidak dan hanya ‘tidur’ sepanjang tempoh seminggu ini.

“Tidak ada kenyataan jelas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri sama ada Parlimen akan dibubarkan atau tidak telah melumpuhkan kerajaan, dengan Menteri-menteri tidur-tidur di Parlimen selama seminggu kerana tidak tahu sama ada mereka akan kekal atau tidak,” kata Ahli Parlimen veteran, Lim Kit Siang.

Ekoran desakan Umno sebelum ini, ramai yang membuat pelbagai spekulasi tentang tarikh Parlimen akan dibubarkan bermula dengan sebelum perbentangan Bajet 2023 atau selepas perbentangannya.

Kini spekulasi bertiup kencang pula Parlimen akan dibubarkan minggu depan samada Isnin atau hari-hari berikutnya.

Menurut sumber, Perdana Menteri Ismail telah menerima surat dari Yang Dipertuan Agong berhubung persetujuan baginda agar Parlimen dibubarkan berikutan permohonan Ismail.

Namun apabila Parlimen tidak dibubarkan Jumaat lepas sebaik sahaja perbentangan Bajet 2023 selesai, maka lahirlah spekulasi baru itu iaitu pembubaran akan berlangsung minggu depan.

Namun begitu, dengan berbekalkan sokongan hanya 38 dari 222 Anggota Parlimen, Ismail dianggap tidak mempunyai cukup kewibawaan untuk memohon pembubaran Parlimen kepada Yang Dipertuan Agong.

Ini berikutan semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional telah membuat keputusan tidak menyokong pembubaran dibuat tahun ini. Semua menteri dari Parikatan Nasional juga menolak pembubaran Parlimen di masa terdekat.

“Saya telah menegaskan bahawa Ahli Parlimen tanpa mengira parti mesti menjaga maruah dan nama baik Parlimen Malaysia dan tidak membenarkan 38 Ahli Parlimen Umno mencemarkan nama baik Parlimen kerana kepimpinan “Kluster Mahkamah” mahu pemimpin Umno terlepas daripada hukuman penjara atas tuduhan rasuah.

“Ia adalah kemuncak sikap tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya umum semasa musim tengkujuh dan banjir, di mana nyawa terkorban dan berbilion ringgit harta benda rosak, dan seorang Perdana Menteri yang membubarkan Parlimen dalam keadaan sedemikian akan dikenang turun-temurun atas perbuatan buruk ini,” kata Lim Kit Siang.