Malaysia Dateline

Kerajaan komited bantu Nelayan Tanjung Piai

Pengecilan kawasan tangkapan dan pengurangan bilangan nelayan di Tanjung Piai tidak akan memberi kesan yang signifikan terhadap keseluruhan hasil perikanan dalam negara dalam lima tahun akan datang.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini kerana kementerian telah merangka pelbagai strategi dalam memastikan kelestarian sumber bekalan perikanan negara seperti memperkukuhkan pengurusan perikanan tangkapan, menyusun semula aktiviti perikanan pantai dan memperkasakan aktiviti akuakultur.

Jelasnya, strategi ini dijangka akan membantu meningkatkan tahap sara diri (SSL) ikan makan negara daripada 92.5 peratus kepada 95 peratus pada tahun 2025

“Kementerian juga telah melaksanakan beberapa projek bagi meningkatkan sumber pendapatan nelayan kawasan Tanjung Piai dengan perlaksanaan projek ternakan ikan dalam sangkar high-density polyethlene (HDPE).

“Ia termasuk projek ternakan kupang/tiram menggunakan sistem rawai P-Line projek agropelancongan (perikanan rekreasi dan inap desa), dan menaiktaraf jeti pendaratan ikan sedia ada bagi meningkatkan jumlah pendaratan ikan,” katanya ketika menjawab lisan pertanyaan Datuk Dr Abd. Latiff Ahmad (Ahli Parlimen Mersing) diDewan Rakyat hari ini.

Salahuddin berkata, data yang diperoleh menunjukkan pembangunan pesisir pantai di Tanjung Piai seperti pembinaan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan projek benteng pemecah ombak telah menjejaskan seramai 1,198 nelayan.

Malah difahamkan, berdasarkan soal selidik yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2018, jumlah pendapatan nelayan pesisir pantai di Tanjung Piai menurun sebanyak 30 peratus akibat daripada pelaksanaan projek tersebut.

Justeru katanya, pelbagai projek akan terus dilaksanakan bagi memastikan kelompok nelayan di kawasan tersebut tidak ‘pupus’ terutama apabila ia diakibatkan oleh kawasan tangkapan ikan yang semakin kecil akibat pembangunan sekitar.

Sementara itu, menjawab persoalan berkenaan pemutihan nelayan yang banyak menidakkan bantuan kepada mereka, Salahuddin berkata ia bagi mengelakkan pemberian bantuan diberikan kepada mereka yang tidak menepati kelayakan sebagai penerima.

“Program pemutihan Elaun Sara Hidup (ESH) yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bukannya menidakkan bantuan kepada nelayan, tetapi bertujuan memastikan nelayan yang tulen dan benar-benar layak sahaja menerima bantuan tersebut.

“Pada tahun 2019, jumlah penerima ESH di Tanjung Piai adalah seramai 470 orang,” ujarnya.