Malaysia Dateline

Kerajaan kutuk segala bentuk penindasan terhadap etnik minoriti, kata Marzuki

Kerajaan mengutuk segala bentuk penindasan ke atas mana-mana kumpulan etnik atau minoriti selagi mana perjuangan hak asasi mereka berpaksikan undang-undang dan perlembagaan negara berkenaan.

Timbalan Menteri Luar Senator Datuk Marzuki Yahya berkata pada masa sama, Malaysia turut sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dalam menyatakan pendiriannya terhadap permasalahan yang berlaku di sesebuah negara.

“Pendekatan ini mengambil kira dasar kerajaan Malaysia yang tidak akan mencampuri urusan dalaman negara tersebut tanpa sebab munasabah.

“Merujuk kepada apa yang berlaku terhadap etnik minoriti Uighur di Xinjiang (China), Malaysia telah menyuarakan pandangan dan saranannya di pentas antarabangsa agar China terus memastikan hak dan kebebasan beragama serta keharmonian masyarakatnya terpelihara.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2019 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

“Semasa sesi Majlis Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-45 di Dhaka, Bangladesh pada Mei lepas, Malaysia bersama negara anggota OIC lain telah memohon agar Setiausaha Agung OIC terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan China bagi menyuarakan pandangan mengenai isu masyarakat minoriti Islam.

“Justeru, kerajaan juga sentiasa memantau perkembangan di wilayah berkenaan dan akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi isu ini melalui forum kerjasama serantau dan antarabangsa,” katanya.

Isu etnik Uighur diutarakan Senator Nuridah Mohd Salleh sebelum ini ketika membahaskan RUU tersebut.