Malaysia Dateline

Kerajaan laksana pelbagai usaha tangani isu ancaman siber

Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu ancaman dan jenayah siber termasuk mengukuhkan prasarana keselamatan siber dan mengawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pelan Strategik KKMM 2019-2023 diperkenalkan dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuhkan keselamatan ruang siber negara dan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai penggunaan peranti digital secara berhemah dan beretika.

KKMM bersama CyberSecurity Malaysia juga giat melaksanakan pelbagai program kesedaran keselamatan siber bagi memberi pendedahan dan pendidikan kepada pengguna internet mengenai bahaya ancaman dan jenayah siber, antaranya Inisiatif Etika Siber Kebangsaan (NCEI) yang sedang dibangunkan, katanya.

Berucap merasmikan Hari Keselamatan Internet (SID) 2020 – Edisi Malaysia di sini hari ini, Dr Wan Azizah berkata Projek Rintis Pensijilan Profesional Modular Keselamatan Siber pula diperkenalkan bagi meningkatkan dan memperkukuhkan golongan berkemahiran dalam bidang keselamatan siber dan Industri 4.0.

“Dengan wujudnya projek ini, sedikit sebanyak ia dapat menaik taraf kompetensi pengamal keselamatan siber sedia ada, memupuk golongan profesional keselamatan siber berwibawa yang baharu serta meningkatkan daya saing dalam mempertahankan keselamatan siber negara,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata kebergantungan kepada teknologi telah membawa kepada pelbagai cabaran baharu termasuk elemen keselamatan siber.

Kebanyakan penjenayah siber, katanya melakukan aktiviti jenayah melalui jaringan telekomunikasi menggunakan komputer untuk mengaut keuntungan daripada mangsa.

Menurutnya, antara ancaman siber ialah penyebaran fitnah, berita palsu, serta hasutan yang berbaur keagamaan atau perkauman.

“Kini jenayah siber, keganasan siber dan peperangan siber yang berlaku di alam maya juga mempunyai impak yang besar di alam fizikal, yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan negara.

“Laman sembang media sosial menjadi platform bagi pengintip siber kerana ianya tidak mempunyai had perkongsian maklumat termasuklah maklumat peribadi yang membolehkan pengguna tersebut menjadi mangsa kepada pelbagai ancaman siber seperti penipuan, buli siber, kecurian identiti dan penghendapan siber,” katanya.

Menurut laporan statistik Cyber999 yang dikendalikan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) CyberSecurity Malaysia, sejumlah 10,722 insiden keselamatan siber berlaku pada tahun lepas berbanding 10,699 pada 2018, katanya.

Lima insiden siber tertinggi yang dilaporkan pada tahun lepas kepada Cyber999 adalah penipuan, pencerobohan, kod berbahaya, berkaitan kandungan dan gangguan siber, katanya.

Antara penipuan siber yang terkenal di Malaysia termasuklah penipuan tawaran pinjaman/ pembiayaan, penipuan Macau, penipuan percintaan dan penipuan pewaris harta atau wang, katanya.

“Kita perlu sentiasa berwaspada terhadap mana-mana tawaran yang diberikan dalam talian yang terlalu baik untuk dijadikan kenyataan melalui email, SMS dan sebagainya kerana ada kemungkinan besar ianya merupakan satu penipuan,” katanya.

Menyentuh mengenai jenayah siber, Dr Wan Azizah berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia, sebanyak 11,875 kertas siasatan jenayah siber dibuka pada tahun lepas, berbanding 10,753 kertas siasatan pada tahun 2018.

“Jumlah kerugian daripada jenayah siber pula meningkat 24.9 peratus kepada RM497.7 juta pada tahun 2019 daripada RM398.6 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.

Daripada jumlah itu, jenayah penipuan telekomunikasi masih mendahului dengan kerugian sebanyak RM254.6 juta manakala jenayah penipuan e-kewangan pula mencatatkan kerugian sebanyak RM135.9 juta.

“Perhatian perlu diberi ke atas kedua-dua jenayah siber ini yang merangkumi 78.5 peratus daripada jumlah kerugian pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata negara perlu mengambil pendekatan dan penyesuaian yang holistik daripada segi sumber manusia, proses dan teknologi dalam menangani keselamatan siber.

“Kita juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa, menjadi lebih inovatif serta bertindak dengan cekap dan pantas terhadap sebarang ancaman siber yang sedang dan akan berlaku,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith dan Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad.– BERNAMA