Kerajaan laksana penyasaran subsidi diesel, T20, warga asing antara yang terkecuali

Oleh MAISARAH AISYA

Semalam Jemaah Menteri bersetujug bagi menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel yang mampu menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebagai permulaan, langkah itu bagaimanapun tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Menurut Perutusan Negara yang bersiaran langsung semalam, Anwar memaklumkan pengecualian itu diberi kerana kebanyakan keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka.

“Di Semenanjung, bagi mengurangkan kenaikan mendadak harga barang, kita menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), termasuk bas, teksi dan bot nelayan tertentu.

“Bagi golongan B40 dan M40 yang menggunakan kemudahan diesel untuk perniagaan kecil atau bidang pertanian, perlombongan, penternakan atau nelayan, (mereka) akan terus dibantu. Maknanya, mereka tidak terkesan daripada kenaikan ini,” katanya.

T20, warga asing juga dikecualikan

Dalam pada itu Anwar turut menyatakan bahawa penyasaran subsidi diesel itu juga tidak membabitkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing.

“Saya ingin tegaskan, kita naikkan (penyasaram subsidi) tapi tidak bebankan rakyat. Kita naikkan kesannya kepada golongan maha kaya dan orang asing.

“Kalau ada rakyat yang terbeban menggunakan diesel, ada ruang untuk mereka rujuk kepada Kementerian Pengangkutan atau kementerian berkaitan supaya dapat dipastikan penyasaran subsidi diesel itu hanya memberi kesan kepada golongan kaya dan warga asing serta tidak membebankan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Kewangan itu turut memberi jaminan kebajikan rakyat akan terus terpelihara dalam menangani kos sara hidup.

“Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

“Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20,” katanya.

Baca juga: Angkat hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, bakal jana potensi lebih RM2.1 bilion – PM Anwar