Malaysia Dateline

Kerajaan laksana tindakan pengurangan risiko bencana secara holistik, kata Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan melaksanakan tindakan pengurangan risiko bencana di seluruh negara secara holistik dengan mengambil kira kepentingan manusia, sosio-ekonomi dan alam sekitar.

Beliau berkata perkara itu penting kerana pengurusan bencana di Malayisa khususnya Sabah, mempunyai pelbagai risiko bahaya seperti banjir, tanah runtuh, dan gempa bumi.

“Sebagai contoh di Kota Belud, Sabah, akibat kesan daripada bencana gempa bumi yang berlaku di Ranau Jun  2015… kita menghadapi dua keadaan iaitu keadaan kekurangan sumber air apabila tiba musim panas atau kemarau dan keadaan lebihan air yang menyebabkan banjir pada musim hujan.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran, dengan kerjasama daripada jabatan-jabatan teknikal lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pertanian dan sedang dalam proses melaksanakan kajian kemungkinan secara bersepadu di Daerah Kota Belud,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bantuan Bencana Negara (Kebakaran) di Putatan dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas dan Anggota Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari.- BERNAMA