Kerajaan luluskan RM600 juta bina Lebuhraya Trans Borneo

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM600 juta bagi pembinaan Lebuhraya Trans Borneo (LTB)yang bermula pada tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian memberitahu, LTB bakal menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan di Indonesia.
Baru Bian

Manakala, katanya untuk tender bagi pembinaan projek berkenaan bakal dikeluarkan pada Ogos nanti.

“LTB merupakan antara tiga projek jalan raya mega yang diberi penekanan dan fokus oleh KKR di samping Lebuhraya Pan Borneo dan Sabah, Sarawak Link Road (SSLR)bagi dibangunkan.
“Ia adalah jalan lingkaran dalam Dataran Tinggi Borneo yang bermula dari Kalabakan ke Serudong, Sabah terus ke Simenggaris Kalimantan melalui Tawau.
“Seterusnya jajaran ini akan melalui kawasan Melinau untuk ke Daerah Krayan dan ke Long Bawan (di Kalimantan Utara) yang terletak bertentangan dengan Ba’Kelalan sebelum ke Long Medan dan keluar semula dari Buduk Nur Ba’Kelalan dan dari situ LTB dihubungkan dengan SSLR,” ujar pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kuching semalam.
Majlis tersebut dihoskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Batu Lintang) yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Stampin, See Chee How.
Turut hadir Naib Presiden PKR yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Saratok, Alli Biju, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan pemimpin PKR Sarawak lain.
Baru menegaskan, LTB dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Indonesia.
Tambah beliau, projek ini adalah yang besar, kerana ia adalah kombinasi kepada SSLR melibatkan sebahagian negeri Sabah dan Kalimantan Indonesia, sekali gus dijangka siap dalam tempoh 10 tahun bermula ia dilaksanakan.
“Saya akan ke Kalimantan Mac depan berjumpa rakan sejawatan di sana dan melihat jajaran (LTB) di Kalimantan. Dan saya boleh mennyatakan bahawa Kerajaan Indonesia juga sangat agresif memastikan LTB menjadi kenyataan kerana mampu membawa potensi besar dalam ekonomi bagi kedua-dua pihak,” jelasnya.
Beliau turut berharap LTB akan membuka kawasan pedalaman Sarawak kepada pembangunan terutamanya di sepanjang jajaran lebuh raya berkenaan pada masa akan datang.