Kerajaan, majikan dan pekerja perlu berunding tentukan dasar perumahan

Kerajaan, majikan dan pekerja perlu berunding tentukan dasar perumahan

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) hari ini mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas membabitkan tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja bagi menangani dasar-dasar perumahan.

Setiausaha Agungnya, J Solomon memberitahu Bernama, biarpun usaha kerajaan menyediakan perumahan untuk pekerja berpendapatan rendah dan sederhana wajar dipuji, namun masih banyak boleh dilakukan dengan adanya satu badan khusus bagi mengendalikan isu yang berbangkit.

Malah, beliau mendakwa antara kekangan sekarang adalah kurangnya penyelarasan usaha oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menyediakan perumahan mencukupi untuk rakyat.

“Inilah peranan yang boleh dimainkan oleh pasukan petugas khas ini yang dapat mempercepatkan pelaksanaan langkah-langkah berkaitan,” katanya.

Solomon turut membangkitkan masalah kos membabitkan kenaikan kadar faedah bagi pinjaman perumahan dan bagaimana majikan boleh tampil membantu untuk menyerap kos atau pemberian subsidi bagi membolehkan pekerja memiliki rumah idaman.

Malah, katanya, NUBE juga sudah secara rasmi menggesa pihak Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia untuk menimbang kemungkinan menawarkan kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk ahli-ahli NUBE.

Menurutnya, ini penting kerana sikap mengetepikan keperluan perumahan itu boleh mengundang masalah sosial dan politik sepertimana yang berlaku di negara-negara tertentu.

Sambil memuji usaha kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan langkah meringankan beban kos sara hidup pekerja, Solomon juga berharap lebih banyak inisiatif akan terus diperkenalkan.

Ini termasuk kemungkinan memberi atau menambah subsidi utiliti serta pengangkutan bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan harian rakyat.

Oleh Sajad Hussein

TAGS