Malaysia Dateline

Kerajaan Malaysia berjaya menerbitkan bon Samurai bernilai RM7.3 bilion

Kerajaan Malaysia telah berjaya menerbitkan bon Samurai dengan jaminan Japan Bank for International Cooperation (JBIC) sebanyak ¥200 Bilion (RM7.3 Bilion), bertempoh matang 10 tahun pada kadar kupon 0.53% setahun.

Penerbitan bon ini merupakan yang pertama sejak penerbitan bon Samurai yang terakhir pada tahun 1989.

Kementerian Kewangan Malaysia dalam kenyataanya berkata, dengan saiz terbitan berjumlah ¥200 Bilion, ini adalah terbitan bon kerajaan jaminan JBIC yang terbesar dalam pasaran Jepun.

Katanya, sebagai sebuah aturan Kerajaan-ke-Kerajaan (Government-to-Government), penerbitan bon ini dijamin oleh JBIC melalui program “Guarantee and Acquisition toward Tokyo market Enhancement” (GATE).

“Ini adalah jaminan JBIC yang pertama diambil Malaysia dan ia adalah sebahagian daripada usaha Perdana Menteri kedua dua negara iaitu YAB Tun Dr Mahathir Mohammad dan En. Shinzo Abe bagi mengeratkan lagi hubungan ekonomi dan budaya antara Malaysia dan Jepun.

Hasil kutipan daripada terbitan ini, katanya akan digunakan untuk tujuan-tujuan umum membiayai perbelanjaan pembangunan yang antara lain meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur utiliti.

Proses penerbitan ini dimulai dengan siri jelajah 2 hari di Tokyo, Jepun pada 7 dan 8 Februari 2019 yang diketuai oleh YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia.

Ini diikuti dengan sesi Pemasaran Rasmi pada 4 hingga 7 Mac 2019. Sewaktu proses pemasaran dijalankan, para pelabur telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap penerbitan ini dan ini mencerminkan tahap keyakinan mereka terhadap ekonomi, tadbir urus dan pembaharuan struktur Malaysia.

“Terbitan ini telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai institusi dan pelabur-pelabur Jepun yang berkualiti. Pelabur-pelabur tersebut adalah bank-bank khusus (37.9%), bank-bank bandar (35%), syarikat-syarikat insurans nyawa (13.9%), bank-bank wilayah (6.5%), bank-bank shinkin (3.8%) dan
lain-lain (2.9%),” ujar kenyataan tersebut.

Kementerian Kewangan juga menjelaskan peluang yang ditawarkan oleh Kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk memasuki pasaran bon Samurai telah meningkatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan terkemuka di rantau ini, di samping mempelbagaikan asas pembiayaan Kerajaan Malaysia.

Mizuho Bank, HSBC Malaysia dan Daiwa Securities dengan kerjasama Affin Hwang Investment Bank merupakan pengatur utama bersama (Joint Lead Arrangers) dan Bookrunners bagi terbitan ini. Kementerian Kewangan ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Jepun dan duta besar Jepun ke Malaysia yang telah memudahkan dan menjayakan penerbitan
bon Samurai ini.