Malaysia Dateline

Lim Guan Eng 4

Kerajaan masih berunding dengan China berhubung projek ECRL

Kerajaan masih lagi berunding dengan China berhubung terma kontrak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) RM81 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata Kabinet pada mesyuarat hari ini telah membincangkan isu ECRL dan membuat keputusan untuk menerima pakai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ia akan dirundingkan dengan mengambil kira sensitiviti kontrak itu.

“Kami patut membenarkan rundingan diadakan yang kini akan diadakan antara kerajaan dengan kerajaan, dan jauh daripada tumpuan awam. Saya menggesa pihak media untuk menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan Malaysia apabila kami telah bersedia,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir berkata belum ada keputusan muktamad dibuat berhubung projek ECRL, dan kedua-dua negara masih berunding mengenai perkara itu.

China Communications Construction Co Ltd (CCCC) ialah kontraktor utama projek rel mega itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan cek RM20 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk Kempen Beli Barangan Malaysia di sini, hari ini, Lim berkata Kabinet turut memutuskan hanya Dr Mahathir akan mengeluarkan kenyataan berkaitan projek ECRL.

Kepada satu soalan, Lim berkata perbincangan kerajaan dengan kerajaan itu adalah bersifat rahsia.

“Sudah tentu akan ada tempoh masa, tetapi biarlah perkara ini dibincangkan secara rahsia. Saya fikir ini adalah perkara biasa dan tidak perlu digembar-gemburkan oleh media,” katanya.

– BERNAMA