Malaysia Dateline

Khabar angin kenaikan tol adalah tidak benar dan dipercayai telah dikitar semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kerajaan masih menilai cadangan Maju Holding untuk pengambilalihan Plus

 

Kerajaan hari ini memaklumkan Kementerian Kerja Raya masih dalam menilai kebolehlaksanaan dan cadangan termasuk tawaran pengurangan kadar tol oleh Maju Holdings.

Menterinya Baru Bian berkata, kementeriannya secara rasmi telah menerima kertas cadangan daripada pihak Maju Holding.

“Kerajaan masih belum lagi membuat keputusan mengenai cadangan Maju Holdings-Plus, atau apa-apa cadangan lain mengenai pengambilalihan mana-mana lebuh raya bertol.

“Ini seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam kenyataannya pada 22 Ogos 2019 yang lalu,” ujarnya dalam kenyataan media hari ini.

Kata beliau lagi Kementerian Kerja Raya akan membentangkan dalam masa terdekat, Kertas Kerja Hala Tuju Lebuh Raya Bertol di Malaysia sewaktu sidang Kabinet pada awal bulan hadapan.

“Pembentangan kertas kerja ini adalah berdasarkan kepada laporan muktamad yang disediakan oleh perunding bebas pada Januari 2019. Hanya selepas Keputusan Kabinet dibuat, Kerajaan akan mempertimbangkan semua cadangan mengenai pengambilalihan lebuh raya bertol di negara ini, termasuk Tawaran Maju Holdings-Plus,” ujarnya.

Sebelum ini, portal berita The Edge melaporkan, Maju Holdings mengemukakan tawaran baharu untuk mengambil alih PLUS.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan menolak tawaran itu selepas mengambil kira pandangan pemegang saham utama syarikat konsesi tol tersebut.

Guan Eng berkata, pemegang saham utama Plus,  Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bersetuju dengan tawaran pengambilalihan itu.

Pada Jumaat Dr Mahathir pula berkata kerajaan masih mempertimbangkan tawaran daripada Maju Holdings Sdn Bhd yang mahu mengambil alih syarikat pengendali lebuh raya itu.

Selain Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS turut mengendalikan Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utara-Selatan, Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.