Malaysia Dateline

Kerajaan masih semak kadar gaji minimum

Kajian semula kadar bayaran gaji minimum selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) masih dalam proses semakan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata, kadar gaji minimum di Malaysia pada masa ini adalah RM1,200 sebulan di kawasan Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran.

Sementara itu, jelasnya, bagi kawasan lain, sebanyak RM1,100 berkuat kuasa sejak 2020.

“Walaupun semakan kasar terhadap gaji minimum ini belum diputuskan dan dimuktamadkan kerajaan, terdapat majikan yang sudah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal bulan ini, Saravanan dilapor berkata, pihaknya positif kadar baharu gaji minimum sekitar RM1,500 boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, sebelum hujung tahun ini.m

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan.