Malaysia Dateline

Kerajaan Melaka belanja RM10 juta baiki baraj Sungai Melaka

Kerajaan Negeri Melaka akan membelanjakan sebanyak RM10 juta pada tahun ini bertujuan memperbaiki semula stesen pintu kawalan air (baraj) di Sungai Melaka dalam usaha mengatasi masalah banjir di negeri itu.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, dengan membetulkan semula baraj tersebut, pihaknya yakin ia akan membantu dari segi memastikan kawasan banjir kilat dapat dikurangkan sekali gus mengatasi masalah berkenaan.

“Pada tahun ini, kita di peringkat negeri akan membelanjakan RM10 juta untuk membetulkan baraj di Sungai Melaka kerana baraj itu sudah tertangguh dan tidak dapat berfungsi sepenuhnya hampir beberapa tahun yang lalu.

“Kalau kita lihat di sesetengah kawasan, di Melaka terutamanya dalam musim hujan, akan berlaku banjir kilat.

“Tetapi sebenarnya kita di peringkat kerajaan negeri bila kita ambil alih kerajaan, kita sudah mengenal pasti di mana kawasan-kawasan ini. Banjir kilat ini biasanya berlaku di kawasan yang berulang. Kita juga sudah tahu apa puncanya.

“Diperingkat kerajaan negeri sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk memastikan kawasan-kawasan yang mengalami banjir kilat ini tidak berulang lagi,” katanya dalam rancangan Bicara Politikonomi di RTM1 malam tadi yang bertajuk ‘Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau, Bersih’.

Adly yang juga Pengerusi AMANAH Melaka mengulas demikian sebagai jawapan kepada penonton yang menanyakan tentang isu berkaitan banjir kilat di Melaka.

Mengulas lanjut, Adly mengambil contoh satu tempat yang dinamakan kilang berapi terletak di daerah Merlimau.

“Di Merlimau ada satu tempat dipanggil kilang berapi. Pada tahun 2019, kita sudah mengambil beberapa inisiatif bagi membina lebih banyak infrastruktur bagi mengelakkan berlakunya banjir kilat.

“Jadi dengan cara itu, kita melihat bahawa pada tahun 2019 dan hujung 2018, masalah berkenaan dapat diatasi.

“Begitu juga di Kampung Chetti Melaka. Di sana, banjir kilat ini sentiasa berulang. Jadi kita bina rumah pam yang baharu, memastikan bahawa pam yang ada itu mencukupi.

“Perbandaran di Melaka ini kebanyakannya kawasan mendatar. Jadi kita banyak menggunakan proses rumah pam untuk memastikan kawasan saliran dapat kita selaraskan dari segi pengurusan air di kala banjir kilat,” katanya.