Kerajaan Melaka hulur bantuan Deepavali kepada masyarakat India

Mohd Sofi menyampaikan bantuan sempena Deepavali kepada masyarakat India di Jeperun Durian Tunggal semalam.

Seramai 40 orang daripada masyarakat India di Jeperun Durian Tunggal Melaka menerima Bantuan Deepavali daripada Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab semalam.

Bantuan berkenaan disalurkan melalui bajet Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada masyarakat India untuk perayaan mereka pada minggu hadapan.

Menurut Mohd Sofi, atas dasar keprihatinan kepada rakyat yang kurang bernasib baik kerajaan Melaka menyalurkan bantuan sempena Deepavali sejumlah RM200 seorang kepada mereka yang memerlukan di seluruh negeri itu.

“Di Parlimen Alor Gajah sahaja kira-kira 250 orang telah menerima sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban kewangan mereka yang sudah yentu memerlukan wang untuk membeli pakaian dan barangan keperluan sempena Deepavali.” kata Adun Durian Tunggal itu dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, dasar peduli dan prihatin memang menjadi dasar kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Melaka.

Justeru katanya, setiap kali musim perayaan kerajaan negeri memperuntukkan bajet untuk sumbangan kepada rakyat.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Penolong Pegawai JKM serta kakitangan JKM kerana mempermudahkan urusan penyerahan sumbangan berkenaan.

COMMENTS