Malaysia Dateline

Kerajaan Melaka mahu sediakan khidmat telekomunikasi dan internet

Kerajaan Melaka komited dalam menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan internet yang lebih baik kepada rakyat negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri merancang membina dan menaik taraf 100 menara telekomunikasi tahun depan.

Beliau berkata negeri ini mengalami masalah kekurangan menara telekomunikasi di mana antara 2015 dan 2017 cuma 30 menara telekomunikasi yang didirikan setiap tahun manakala dalam tempoh Januari hingga April tahun ini cuma enam menara didirikan dan digunakan.

“Penduduk kita semakin padat manakala penggunaan data setiap orang juga naik. Oleh itu, permintaan untuk menara telekomunikasi yang mempunyai keupayaan lebih baik juga meningkat.

Berdasarkan penaksiran yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi dan agensi kerajaan, untuk memenuhi tren yang semakin meningkat ini, Melaka kekurangan 100 infrastruktur telco setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerk berkata justeru sejak mengambilalih portfolio itu, beliau telah mengambil langkah segera untuk menangani masalah ini dan hasilnya antara bulan Mei hingga November, sebanyak 46 infrastruktur telco telah dibina yang meningkatkan liputan selular di 46 kawasan di negeri ini.