Malaysia Dateline

Kerajaan Melaka wujud pusat kitar semula

Kerajaan negeri Melaka akan mewujudkan pusat pengumpulan barangan kitar semula menerusi projek kebajikan yang akan dilaksanakan di bawah Pejabat Ketua Menteri Melaka.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata pembukaan pusat yang bertujuan membantu golongan memerlukan itu dijangka dibuka Mac depan.

Beliau berkata pembukaan pusat itu juga bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan kitar semula dan aspek kebersihan terutama melibatkan kawasan rumah.

“Kita sedang mengenal pasti lokasi strategik untuk pembukaan pusat pengumpulan itu agar ia mudah diakses oleh rakyat dari pelbagai kawasan sekitar.

“Inisiatif ini penting kerana untuk menuju negara atau negeri maju, kitar semula perlu manjadi amalan setiap rakyat atau lapisan masyarakat daripada semua peringkat umur,” katanya kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong dan Majlis Pelancaran ‘KITAR3cycle’ di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif SWM Environment Sdn Bhd Dr Uzir Abdul Malik.

Mengulas lanjut, Adly berkata barangan kitar semula yang diperoleh akan dinilai kualitinya sebelum dijual semula pada harga lebih rendah kepada golongan memerlukan.

Beliau berkata hasil jualan berkenaan akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan kebajikan rakyat di negeri itu.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan surat pemakluman Majlis Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang didakwa berlangsung pada Feb depan seperti yang tular di media sosial.

Beliau berkata surat bertarikh 18 Jan lepas yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka itu dikategorikan sebagai maklumat palsu dan siasatan akan dilakukan sebelum tindakan undang-undang diambil sekiranya perlu.

“Bagi saya mereka yang melakukan perkara ini tidak bertanggungjawa dan perkara ini telah dimaklumkan pada pihak pentadbiran kerajaan negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

— BERNAMA