Malaysia Dateline

Kerajaan Melayu Islam ‘bisu’ bela keadilan

Pembunuhan kejam saintis nuklear terkemuka Iran, Mohsen Fakhrizadeh, dipercayai oleh ejen Israel dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS), mendedahkan lagi keangkuhan Israel.

Ini berlaku setelah Israel menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain serta baru-baru ini pula diberitakan mengadakan pertemuan antara Perdana Menteri Israel dengan putra Arab Saudi di negara Arab Saudi baru-baru ini.

Israel dan AS telah lama menanam dan membakar kebencian terhadap negara Iran ke dalam hati negara-negara Arab-Islam di Timur Tengah.

Strategi pecah perintah (divide and rule) oleh Israel ke atas negara Islam-Arab sangat berbahaya kepada seluruh umat Islam sedunia. Ini akan melemahkan lagi pembelaan nasib orang Palestin yang terus ditindas oleh Israel.

AMANAH memandang serius berita Presiden Israel Benjamain Netanyahu telah ke Arab Saudi untuk menemui Putra Mohammad. Diberitakan pertemuan tersebut disertai oleh Mark Pampeo, Setiausaha Negara AS.

Sebagai penjaga rumah ibadat Islam paling suci dunia, ramai umat Islam pasti kecewa dengan peristiwa tersebut kerana tiada kemajuan pun diperolehi dalam rundingan isu Palestin dengan Israel.

Malahan, makin lebih banyak hak Palestin terhakis termasuk status Baitul Maqdis yang kini diisytihar ibu negara Israel dan disokong oleh AS.

Fenomena negara-negara Arab Islam menjalin hubungan rasmi dengan Israel termasuk UAE, Mesir, Jordan dan Bahrain bertujuan melemahkan lagi kedudukan rakyat Palestin.

Hal ini sekali gus mengangkat kedudukan dan kekuatan Israel dengan sokongan kuat AS menindas Palestin.

Negara-negara lain yang menyokong dan kuat membantu Palestin seperti Iran dan Turki terus disisih dan dipulaukan oleh negara Arab rakan akrab baru Israel di timur tengah.

Terbaharu negara Mesir, sahabat rapat Israel, telah mengisytiharkan pertubuhan Ikhwan Muslimin musuh ketat Zionis Israel sebagai pertubuhan penganas yang haram.

Bukankah pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi oleh Arab Saudi dan Mohsen Fakhrizadeh yang dipercayai oleh Israel dan AS perbuatan berbentuk keganasan juga?

Pada masa rakyat Palestin menganggap diri dilupakan dan dikhianati oleh saudara Islam Arab sendiri, Malaysia yang mengasaskan OIC sepatutnya memberi suntikan semangat kepada mereka.

Malaysia mempunyai duta khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri , Datuk Seri Hadi Awang, yang pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Ulama seDunia.

Pembisuan beliau sebagai Presiden Pas dan seorang bertaraf Menteri Kerajaan Islam Melayu Malaysia dalam isu ini amat menghairankan dan memalukan rakyat Malaysia.

Bukan sahaja dalam isu ini tetapi juga isu agama seperti hukum hudud, RUU 355 dan pembelaan kematian ahli bomba Adib yang dahulunya dicanang dengan gegak gempita di seluruh negara tetapi hari ini Pas membisu!

Pemimpin-pemimpin Pas diibaratkan seperti tikus yang jatuh di dalam beras dan sedang terlalu kenyang untuk berkata apa-apa di muka kezaliman baik di pentas negara sendiri apa lagi di pentas dunia Islam antarabangsa.

Apa gunanya kuasa jika tidak digunakan untuk kebaikan umum keadilan membela yang tertindas seperti dituntut Islam dan bukan untuk nikmat keselesaan diri sendiri?

Kerajaan Malaysia yang mengaku kerajaan Melayu-Islam hanyalah pada nama sahaja. Tidak ada suara pembelaan umat Islam atau rakyat umum kedengaran.

Apabila ulama menjadi bisu dan parti yang mengakui diri parti Islam dalam kerajaan Melayu Islam menjadi bisu juga, Islam dan keadilan akan tidak terbela.

Kuasa di tangan mereka bukan untuk membela umat yang tertindas tetapi untuk mengumpul kuasa dan kekayaan supaya kekal untuk mereka terus menjadi kerajaan hari ini.

 

*SENATOR RAJA BAHRIN SHAH merupakan Pengerusi AMANAH Terengganu.