Malaysia Dateline

Kerajaan Melayu Islam jangan jadi candu politik parti korup

Kerajaan Melayu Islam dinasihatkan supaya tidak menjadi candu politik parti-parti politik yang korup dan gila kuasa seperti Umno, Pas dan PPBM.

Demikian dizahirkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Jelas beliau lagi, senario krisis politik lompat parti sejak langkah Sheraton yang lalu dengan dakwaan kononnya tujuan langkah tersebut berteraskan segmen Melayu dengan gabungan tiga parti sebetulnya hanyalah untuk kuasa politik dan tembolok peribadi semata-mata.

“Akhirnya setelah sembilan bulan, kerajaan Melayu Islam PN negeri Perak kecundang setelah jelas ia merupakan parti politik yang gila kuasa untuk menipu orang Melayu, sedangkan sepanjang tempoh tersebut tiada Melayu Islam diangkat sebagai agenda negara maupun diluluskan di Parlimen sebagai polisi kerajaan seperti BMF dan RUU 355.

“Apa yang penting bagi rakyat adalah hak dan kebajikan mereka dijaga serta kepentingan negara pula dipertahankan, malah Melayu Islam bukannya pada kulit atau nama dan slogan, sebaliknya pada isi, nilai dan hasil.

” Malangnya, PH dimomokkan dengan sentimen dan bukan nilainya. Digaris penamat pula rakyat akan melihat parti politik yang mempunyai nilai, berprinsip dan berintegriti untuk disokong serta nilai akan mampu untuk mengalahkan sentimen,” tambah beliau.

Sejajar dengan itu ujar Faiz, AMANAH harus bersedia memikul kelompangan ini kerana rakyat sedang mengalami krisis keyakinan terhadap parti politik.