Malaysia Dateline

Kerajaan Melayu Islam menganaktirikan Sekolah Agama Rakyat?

Sejak mendakap Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) ternyata telah terpesong dari perjuangan mereka untuk memartabatkan institusi pendidikan Islam, yakni Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok, khususnya di negeri Kedah.

Sedang SAR, khususnya di negeri Kedah ini semakin tenat kerana kekurangan dana untuk menguruskan sekolah selain untuk membayar gaji guru-guru, Kerajaan PN baru-baru ini memberikan bantuan lebih besar kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mewakili sekolah persendirian Cina.

Apakah bila sudah diulit mimpi indah dalam Kerajaan, PAS lupa – lebih kepada ketepikan – wadah perjuangan mereka sendiri? Dahulu mereka meletakkan diri mereka sebagai pejuang untuk sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok.

Malah pimpinan Pas juga yang paling lantang melaung dan mendesak supaya Dong Zong diharamkan. Kini mereka sudah bisu. Nyatalah semua pekik lolong mereka selama ini lebih kepada retorik politik semata- mata.

Saya berasa amat sedih bila mencongak bantuan besar berjumlah RM15 juta yang diperuntukkan kepada 63 sekolah persendirian Cina. Ini bermakna setiap sekolah persendirian Cina itu boleh terima lebih kurang RM230,000. Bagaimana pula dengan nasib SAR?

Memang benar Kerajaan Pusat telah mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk sekolah agama tetapi ia dibahagikan antara Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok berdaftar. Akhirnya, berapa peruntukan setiap sekolah dapat? Mohon diperincikan pecahannya.

Tampak banyak tetapi peruntukan tersebut hanya untuk selenggara dan naik taraf sekolah, sedangkan gaji guru dan kakitangan sekolah setiap bulan perlu dibayar. Sekolah-sekolah ini tidak beroperasi di waktu pandemik COVID-19 sekarang. Dari mana sekolah hendak cari duit?

Bagaimana, sudahkah mencongak berapa banyak setiap SAR, Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok dapat dari agihan RM100 juta itu? Bukan banyak mana pun, tidak sampai RM100,000 sebuah.

Sungguh mengecewakan! Perlu diingat, Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md. Nor juga adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah. Adakah beliau merasakan peruntukan sebanyak itu sudah memadai, cukup untuk menampung kos pengurusan SAR, Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok yang banyak di Kedah?

YAB Sanusi cukup cekap bila hendak melempar pelbagai tohmahan terhadap bekas Menteri Besar Kedah, YB Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir. Kini, setelah dia pula jadi Menteri Besar, apa yang YAB Sanusi sudah lakukan untuk membantu SAR, Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok? Alangkah bagusnya jika beliau memanfaatkan kecekapan beliau itu dalam mencari penyelesaian yang tuntas kepada dilema yang dihadapi institusi-institusi pengajian Agama Islam di negeri Kedah ketika ini.

Di era pentadbiran YB Dato’ Seri Utama Mukhriz, banyak yang beliau lakukan. “Belemoih” dia ke hulu ke hilir berusaha membantu SAR, Tahfiz dan Pondok. Peruntukan tambahan yang beliau mohon daripada Menteri Agama pada waktu itulah yang banyak membantu perjalanan institusi pendidikan agama di Kedah.

Sebuah Yayasan Pendidikan Islam Darul Aman (YPIDA) juga telah berjaya diwujudkan untuk selaras usaha-usaha memartabatkan institusi pendidikan Islam di negeri Kedah. Skim Takaful Murabbi pula diperkenalkan untuk melindungi semua tenaga pengajar di sekolah-sekolah agama. Semua ini dibuat semasa YB Dato’ Seri Utama Mukhriz menerajui Kerajaan Negeri Kedah.

Ketika itu, setiap sekolah dapat peruntukan melebihi dari biasa. Kalau tidak silap, ada pondok di Jeneri, dalam kawasan DUN YAB Sanusi sendiri, dapat peruntukan lebih RM300,000. Malah, YB Dr. Salmee Said sendiri menggunakan peruntukan beliau sebagai Exco Pendidikan untuk memperbaiki prasarana sekolah dan pondok.

Saya amat sedih mengenangka nasib malang yang menimpa SAR, Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok pada hari ini. Apakah bantuan yang disalur kepada sekolah-sekolah ini, khususnya di negeri Kedah? Bagaimana dengan nasib para guru agama dan pelajar? Apa yang pentadbiran YAB Sanusi lakukan untuk menyerlahkan syiar Islam melalui institusi pendidikan agama ini?

Setakat ini peruntukan yang diberi oleh Kerajaan Negeri hanya berbentuk ‘one-off’, itupun ketika bulan Ramadhan lalu. Itupun RM5,000 sahaja, cukuplah untuk membayar bil eletrik. Bagaimana dengan bantuan lain?

Terasa sangat seperti Sekolah Agama Rakyat, Tahfiz dan Pondok dianaktirikan oleh Kerajaan hari ini. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana kononnya Kerajaan yang ada hari ini Kerajaan ‘Melayu Islam’.

Setahu saya pelbagai saluran sudah digunakan oleh pihak SAR, Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok untuk memohon bantuan tetapi belum mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Saya memohon pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri turun melihat sendiri keadaan SAR, Sekolah Tahfiz dan Sekolah Pondok. Kedudukan kewangan institusi pengajian agama ini sudah tenat, sampaikan hendak bayar gaji pun kena berhutang, sehinggakan sekolah terpaksa potong gaji guru dan mencatu makanan. Pentadbir sekolah-sekolah ini sudah tidak mampu menanggung kos operasi.

Mohon YAB Sanusi dan pimpinan Pas sekalian, bermuhasabahlah. Jangan melopong, leka melayan angan-angan; ralit menghayun buaian setelah kini berada di puncak. Jangan sekadar gagah berarak di jalan, lantang memekik tetapi longlai bila sudah ditampuk kuasa.

 

Ustaz Ahmad Shauqie Bin Dato’ Murshid Diraja Dato’ Paduka Dr Syeikh Muhamad Baderudin adalah Ketua Pejuang Muda Negeri Kedah