Malaysia Dateline

Kerajaan Melayu Islam nafikan hak anak muda Melayu Islam

Sejak dari zaman universiti, saya seorang yang tidak pro kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Walaupun ada sisi baik dalam akta itu, tetapi ia janggal. Tidak boleh diterima akal mereka yang tidak meneruskan pengajian tinggi selepas sekolah boleh aktif dalam politik. Manakala siswa-siswi di menara gading dilarang. Nakal.

Lebih ironi, jika anda sudah berumur 30 hingga 40 tahun di kampus pun tetap dilarang berpolitik. Tidak mungkin umur seperti ini dinilai tidak matang dan tidak pandai membahagi masa belajar. Berat sangat andai begitu.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, pemegang taruh terbesar yang terima kesan apa jua bentuk polisi kerajaan ialah anak muda di umur 18 hingga 23 tahun. Jumlah mereka dianggarkan sekitar lapan juta orang. Dengan julat seramai lima juta orang adalah anak muda Melayu.

Orang politik tahu angka ini. Orang berniaga pun sedar. Dek kerana itu walaupun sudah berusia, mereka berpusu-pusu masuk ke dunia maya membuka akaun Tik Tok.
Memposisikan diri di situ. Ini adalah strategi penerokaan. Tidak salah. Berjoget atau tidak, itu cerita malu alah. Cari dalil itu kerja mudah.

Kumpulan anak muda ini sekarang yang terima kesan kemelesetan ekonomi paling parah. Mereka hilang kerja. Peluang kerja pula makin menipis dengan banyak pelabur asing lari keluar dan penutupan kilang industri.

Di belakang mereka bakal tertanggung hutang belajar. Kadar jenayah di sekeliling yang meningkat. Pergerakan mereka terbatas dengan pandemik. Dan paling sadis berdepan dengan pelbagai aneka saman dan kompaun. Dari topeng muka hinggalah ke ekzos motosikal.

Pastilah anak muda ini ingin satu kerajaan yang memberi pemberat kepada kepentingan masa depan mereka. Mereka ingin berpartisipasi dengan menghantar calon muda.

Mereka ingin terlibat memberi suara idea cadangan. Mereka ingin mengundi. Ini pilihan hidup mati mereka sebagaimana ada yang memilih untuk berkahwin atau merantau.

Alih-alih suara mereka dinafikan. Lebih malang setelah ia dipersetujui di Dewan Rakyat. Abah, Pak Long, dan Tok Chik mereka sendiri yang tidak beri. Tok Chik jerkah ‘perambat’ balik sebab tertinggal kalam datang mengaji. Belum matang walaupun sudah beberapa kali datang haid.

Sebagai sebuah kerajaan Melayu Islam, menafikan hak anak-anak muda Melayu Islam itu sendiri amatlah ironi. Takut apa ini? Belum tentu pun lagi mereka pangkah siapa.

Mereka tidak tengok berita tv anda susah apa. Ini zaman pak kaduk mana sampaikan jadi gundah gulana begitu rupa. Kaburkan ‘video’ dan bayarlah iklan di FB Ads atau Youtube. Kempenlah. Kerajaan Melayu Islam dengan peruntukan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) setara belanja untuk ‘frontliner’.

Sebenarnya yang kerajaan tebuk atap ini takut ialah bayang-bayang mereka sendiri. Hakikatnya, mereka sudah gagal menguruskan segala mehnah pentadbiran negara.

Mereka kehilangan ‘touch’ kepada anak-anak muda ini. Isu sekolah dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menjadi bahan jenaka dan amarah anak muda. Masa mereka terbuang.

Duit habis sekejap ke asrama, sekejap disuruh balik. Beban perasaan tunda peperiksaan awam tanpa pelan. Adik kecil mereka ke taska boleh, tetapi Menteri masuk Parlimen tidak boleh.

Paling akhir, anak muda ini nampak bagaimana buruknya kelaku sang Menteri menggasak rakan seusia mereka dengan dituduh menipu panjat pokok mencari radar internet. Apa punya kelas pemimpin cari gaduh dengan remaja perempuan. Semua babak lelucon ini menjadi sinetron ditonton secara harian.

Kegagalan dalam semua cerita inilah yang menjadikan Abah, Pak Long, Angah, Ucu, dan Tok Chik hantar balik semula anak cucu ke asrama ‘juvana’.

*ZAMIR GHAZALI merupakan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu.