Kerajaan melestarikan pentadbiran Islam dalam Belanjawan 2020

Kerajaan melestarikan pentadbiran Islam dalam Belanjawan 2020

Belanjawan 2020 menunjukkan kerajaan sentiasa mahukan kelestarian pentadbiran Islam dalam perbelanjaan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusuf.

Pada belanjawan 2019 yang lalu, peruntukan untuk pentadbiran Islammeningkat daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion.

Bagi tahun 2020 pula, terdapat peningkatan lagi iaitu sebanyak RM1.3 bilion- peningkatan sebanyak RM0.1 bilion secara konsisten.

Selain Kebajikan guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) juga mendapat perhatian dalam bajet kali ini apabila mendapat peruntukan sebanyak RM50 juta.

Dengan peruntukan guru KAFA ini, elaun guru KAFA akan dinaikkan sebanyak RM100.Semoga dengan peningkatan elaun ini akan memberi manfaat kepada hampir 33,200 guru KAFA di seluruh negara.

Imam, bilal, tok siak dan guru takmir juga tidak dilupakan dan akan diberi penghargaan dengan pemberian one-off sebanyak RM500 sebagai menghargai jasa mereka.

Selain itu, sebanyak RM10 juta pula diperuntukkan bagi tujuan promosi danpenerangan terhadap dasar Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah yang kini
sedang giat diusahakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwai Islam).

“Alhamdulillah, ia mendapat perhatian dalam belanjawan kali ini agar dasar ini dapat dipromosi dengan lebih intensif lagi. Peruntukan ini juga akan dimanfaatkan bagi menangani gejala takfir, doktrin agama dan perkauman sempit yang membimbangkan. Ini membuktikan jaminan dan kesungguhan kerajaan membentuk naratif Islam yang penuh RAHMAH.

“Saya juga bersyukur apabila RM50 juta turut diperuntukkan kepada sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat dan persendirian. Selain itu juga, program pemakmuran masjid bagi melahirkan konsep masjid RAHMAH turut diberi perhatian dan diperuntukkan kepada JAKIM. Ini juga akan membantu menjayakan kerangka strategik pentadbiran Islam dalam salah satu kluster iaitu kluster Masjid,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mujahid turut berkata penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) juga membuktikan kerajaan berusaha untuk membantu melonjakkan Malaysia sebagai hub kewangan Islam dan berpotensi melengkapkan kitaran eko-sistem Halal dan sistemsosial ekonomi lain seperti wakaf.

“Usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang progresif dan berkemakmuran ini sesuai dengan harapan Malaysia Baru.

“Tidak syak lagi segala komen negatif bahawa kerajaan PH tidak membela Islamadalah slogan kosong yang tidak berasas. Berpandukan kepada komitmen PH dalam bajet kali ini, Islam dan kerajaan berpisah tiada. Semoga tahun 2020 menyaksikan hasil yang baik untuk pentadbiran Islam menyumbang kepada kemakmuran negara,” ujarnya.