Malaysia Dateline

Kerajaan mesti pastikan semua barisan hadapan PKP dapat elaun khas

Kerajaan Malaysia perlu menjawab isu soal keciciran nama anggota perkhidmatan awam yang terbabit dalam kerja-kerja memerangi pandemik Covid-19 tetapi tidak mendapat elaun khas.

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mendiskriminasikan pembayaran tersebut.

Beliau meminta agar kerajaan memantau soal pembayaran elaun khas tersebut supaya diterima oleh mereka yang benar-benar berbakti sebagai barisan hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Ada yang tidak dapat elaun khas tersebut sedang mereka itu bertugas tanpa ada cuti dan sebagainya. Ini adalah suatu tindakan yang tidak munasabah.

“Mana-mana jabatan yang terbabit perlu menyemak untuk memberikan elaun khas kepada mereka yang bertugas tanpa ada pilih bulu di kalangan mereka.

“Terdapat aduan yang diterima oleh saya yang menyatakan bahawa mereka sudah tidak lagi bersemangat untuk berbakti kerana imbuhan yang sepatutnya mereka dapat tidak diberikan kepada mereka,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor itu berkata, elaun tersebut bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh barisan hadapan tersebut melainkan sebagai pemangkin semangat.

Tambahnya, kerajaan harus membuat pemutihan terhadap pemberian elaun khas ini serta mengenal pasti petugas-petugas yang bertugas sepanjang PKP ini dilaksanakan.

“Jangan nafikan hak individu yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan PKP ini. Memang betul bukan elaun itu dikejarkan oleh mereka, namun elaun tersebut adalah pemangkin semangat untuk mereka.

“Sekiranya hari ini pengagihan elaun tersebut tidak sistematik, ia akan merencatkan semangat petugas ini daripada terus memberikan khidmat terbaik.

“Pemutihan perlu segera dilaksanakan agar perkara seperti ini tidak berbangkit lagi agar tiada lagi golongan yang teraniaya,” ujarnya lagi.