Dalam negara sibuk menguruskan pandemik Covid-19, ramai yang kurang memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara daripada ancaman-ancaman bukan wabak.
Namun hakikatnya, kita masih berhadapan dengan ancaman musuh-musuh yang sama malah mungkin lebih berbahaya.
Sebagai seorang pesara tentera, saya menyambut baik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menegaskan bahawa pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkatkan kesiapsiagaan di darat, udara dan di laut untuk berhadapan sebarang ancaman pencerobohan di Sabah dan juga bersedia berhadapan sebarang ancaman siber.
Kesiapsiagaan ini perlu dilihat bukan sahaja daripada segi persedian pegerakan fizikal dan tahap persediaan mental dan moral wirawan dan wirawati negara, tetapi juga merangkumi ilmu dan senjata yang moden dan berteknologi tinggi.
Kerajaan perlu memastikan ATM mempunyai aset-aset yang moden dan mampu digunakan secara efektif dalam berhadapan ancaman abad ke-21.
Kita perlu memiliki aset-aset yang berteknologi tinggi, efektif dari segi kos dan mudah diselanggarakan oleh anggota-anggota tentera di darat, udara dan di perairan.
Langkah kerajaan untuk memastikan projek-projek perintis dalam industri pertahanan tempatan harus dipertingkatkan lagi untuk memastikan aset-aset strategik pertahanan ini dapat dihasilkan di dalam negara oleh anak tempatan.
Misalnya, projek pembuatan kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) oleh industri pertahanan tempatan yang amat diharapkan oleh sahabat-sahabat saya dalam anggota anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Walaupun dihambat pelbagai cabaran terutama dari segi kos dan diberhentikan sementara ketika pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek ini perlu diteruskan secepat mungkin.
Kertas Putih yang diterbitkan oleh Kementerian Pertahanan pada ketika itu juga menyokong projek LCS yang merupakan sebahagian daripada agenda transformasi aset TLDM 15 to 5 yang telah dimulakan sejak 2015.
Menteri Pertahanan baru-baru ini juga menegaskan bahawa kapal tempur pesisir ini akan siap dan diterima oleh TLDM pada tahun 2025. Ini merupakan satu langkah tegas dan berani.
Aset penting seperti ini tidak boleh dilengahkan. Ini soal maruah dan kedaulatan negara. Benar, wang dan ringgit – soal kos itu penting. Namun, kita juga perlu menilai dari segi keperluan untuk melengkapi sistem pertahanan negara.
Langkah kerajaan untuk meneruskan projek ini perlu terus disokong dan punca kelewatan harus diperhalusi dan diambil tindakan supaya tidak berlaku lagi.
Namun, agenda besar kerajaan untuk memastikan anggota tentera kita dipersiapkan dengan aset-aset berkualiti dan kemahiran mengendalikan aset ini perlu diteruskan.
Sememangnya, kesiapsagaan aset aset pertahanan negara ini harus terus menjadi tumpuan kerajaan.
Jangan kita terlalai dan terleka, kerana ancaman terhadap keselamatan negara boleh berlaku bila-bila masa.
Jangan terhantuk baru terngadah!
*ABDUL WAHID MOHD DON merupakan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur.