Kerajaan mesti urus media, buat kajian keberkesanan anggota Kabinet

Kerajaan mesti urus media, buat kajian keberkesanan anggota Kabinet

ANALISIS PRK DUN RANTAU

Daripada sejumlah tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sudah berlangsung, keputusannya adalah:

1. Pakatan Harapan (PH) kalah di DUN Semenyih, yang secara sejarahnya kali kedua dirampas oleh PH daripada Umno-BN iaitu pada PRU12 dan PRU14.

2. PH gagal rampas kerusi BN di Parlimen Cameron Highlands dan DUN Rantau.

3. Selebihnya, PH berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi yang telah dimenanginya dalam PRU14 lepas.

Beberapa perkara sebagai muhasabah ke hadapan:

1) Manifesto yang memberi kesan langsung kepada kos hidup rakyat gagal diberikan penjelasan. Seperti contohnya, kesan penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan penstabilan harga minyak (RON95).

2) Dedah kelemahan dan penyelewengan regim kleptokrat wajar dan bagus, tetapi perlu segera disusuli dengan penjelasan rancangan ke hadapan.

3) Berjaya buat langkah penjimatan khususnya terhadap projek-projek mega dan megah yang diluluskan oleh regim terdahulu, tetapi tidak disusuli dengan penjelasan rundingan dan hasil daripada penjimatan itu akan dimanfaatkan kepada apa dan siapa.

4) Penangguhan beberapa projek berimpak besar tidak disusuli dengan penjelasan mengapa, sampai bila dan di mana perkembangannya. Kesan berantai akibat penangguhan tidak diurus dengan sebaiknya.

5) Kerajaan gagal menguruskan media miliknya agar berperanan strategik dan efektif untuk memberi gambaran serta pencerahan terhadap perjalanan sebenar kerajaan, kejayaan-kejayaan yang bukan sedikit sama ada di peringkat negeri dan pusat, malah tidak dimanfaatkan seoptimanya bagi menangkis pelbagai propaganda seputar agama, bangsa dan berita-berita fitnah.

6) Kerajaan dalam pada mahu menonjolkan semangat demokrasi tulen, memberi pelbagai kemudahan dan kelebihan kepada pihak pembangkang tetapi pada masa yang sama membiarkan hak demokrasi kerajaan pusat di negeri-negeri atau premis-premis milik pembangkang diketepikan.

7) Amalan kebebasan bersuara memberikan pendapat dan berbeza pendapat di kalangan Menteri masih belum menjadi budaya yang diterima rakyat secara umum.

Ia membawa kepada pemahaman bahawa menteri-menteri Kabinet saling bertentangan dan bergeser sesama sendiri. Pada masa yg sama ia menjadi ruang kepada pihak pembangkang mempotretkan keadaan itu sebagai flip flop, berpecah dan lain-lain.

8) Perkemaskan struktur PH di semua peringkat.

9) Kajian keberkesanan anggota-anggota Kabinet perlu dilakukan secara jujur untuk kepentingan rakyat without fear and favour.

10) Kakitangan awam yang menjalankan kerja-kerja sabotaj kerajaan, termasuk sengaja melambatkan atau tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pelbagai aduan rakyat di semua peringkat perlu segera dikenalpasti, disenaraikan dan diberikan sesi kaunseling. Kesalahan berulang perlu ada tindakan yang tegas.

11) Usaha reformasi institusi, perangi korupsi, dan seumpamanya perlu diteruskan. Pesalah-pesalah perlu segera dihadapkan ke muka pengadilan.