Malaysia Dateline

‘Kerajaan Muhyiddin tidak layak nasihat Agong isu darurat’

Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memberi peluang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik ketua kerajaan baharu.

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Mahfuz Omar berkata, secara moralnya kerajaan Muhyiddin dan Kabinetnya tidak wujud dan tidak layak membuat keputusan dan menasihati Agong.

Dakwanya, tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan darurat lebih-lebih lagi apabila Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri dan kerajaan PN adalah kerajaan yang merampas mandat rakyat.

“Ketika keputusan darurat dibuat oleh jemaah menteri, kerajaan PN sudah hilang majoriti dengan hanya 110 sahaja. Sehari kemudian bilangan menurun pada 109.

“Ini jelas bahawa Muhyiddin dan jemaah menteri yang ada ini pada moralnya tidak wujud dan tidak layak untuk membuat keputusan dan mempersembahkan pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mahfuz juga menegaskan, pembangkang tidak perlu menyertai sebarang jawatankuasa yang akan dibentuk dari proklamasi darurat itu.

“Jika Ahli Parlimen pembangkang menyertai Jawatankuasa Bebas yang akan dibentuk, bermakna kita memperakui keabsahan Muhyiddin dan PN,” katanya.

Untuk rekod, PN hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Dewan Rakyat selepas tiga Ahli Parlimen Umno menarik diri dari menyokong gabungan tersebut.

Antaranya, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri.

Penarikan sokongan mereka didakwa kerana kerajaan yang ada sekarang sangat rapuh dan gagal mentadbir antaranya berkaitan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2021 seperti desakan Umno.

Kemelut hubungan antara Umno dan Bersatu juga memuncak apabila mesyuarat 189 daripada 191 bahagian Umno memutuskan untuk menolak Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam masa sama, desakan Umno yang mahukan PRU-15 juga disekat dengan pengisytiharan darurat oleh Muhyiddin.