Malaysia Dateline

Kerajaan N. Sembilan kekal pendirian perkahwinan bawah had umur

Kerajaan Negeri Sembilan kekal dengan pendirian untuk tidak meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan bawah umur yang telah diamalkan selama ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ini kerana undang-undang sedia ada sudah cukup ketat, meskipun ia membenarkan perkahwinan pada usia bawah 18 tahun.

“Sebenarnya kerajaan negeri punya dasar, saya rasa memang agak ketat, memang kita benarkan bawah umur untuk berkahwin tetapi dengan kelulusan khususnya bagi yang beragama Islam dimana mereka perlu dapatkan kebenaran mahkamah kerana hanya mahkamah yang akan benarkan perkahwinan bawah umur.

“Tiada sebab untuk pinda atau buat undang-undang baharu dan saya juga sudah dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bahawa undang-undang sedia ada sudah ketat sebab bila ke mahkamah kena lalui temuduga dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam berkata pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya dengan mudah membiarkan perkahwinan bawah umur berlaku tanpa kawalan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan sebagai berkata, kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.– BERNAMA