Malaysia Dateline

Kerajaan negeri dibenar beli vaksin sendiri, kata Khairy

Kerajaan Negeri dibenarkan untuk menjalankan inisiatif pembelian bekalan vaksin mereka sendiri dengan syarat vaksin yang dibeli perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kata Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bagaimanapun, katanya, jenis vaksin yang cuba diperoleh negeri-negeri tersebut, sebagai contohnya negeri Selangor, buat masa ini adalah dari syarikat farmaseutikal yang sama dibeli di bawah PICK.

“Berdasarkan syarat perjanjian di antara Kerajaan Persekutuan Malaysia dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin berkenaan, pembekalan stok vaksin yang telah ditempah perlu dan akan didahulukan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ia bagi memastikan pelaksanaan PICK, sebelum apa-apa bekalan vaksin dapat disalurkan oleh syarikat farmaseutikal kepada mana-mana pihak lain termasuklah kerajaan negeri, pihak industri atau hospital swasta yang membuat tempahan dan pembelian selepas Kerajaan Persekutuan, melainkan melalui pembekal yang tidak terlibat dalam PICK,” kata Khairy dalam kenyataan itu.

Selangor dan Sarawak telah membuat keputusan untuk membeli vaksin tambahan untuk rakyat masing-masing.

Pembangkang di Johor pula mendesak kerajaan negeri agar membuat tindakan yang sama.

Kerajaan negeri Selangor juga menawarkan pihak swasta untuk membeli vaksin daripada kerajaan negeri.