Kerajaan negeri dituntut mohon maaf kepada Orang Asli

Kerajaan negeri dituntut mohon maaf kepada Orang Asli

 

Kerajaan negeri Kelantan dituntut memohon maaf kepada Orang Asli apabila mahkamah tinggi Kota Bharu semalam memihak mereka berkaitan tuntutan melibatkan tanah seluas 9,361.5 hektar di Pos Belatim, Ulu Nenggiri, Gua Musang.

Ketua pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata keputusan ini menunjukkan tuduhan dan tohmahan dari pimpinan Pas Kelantan sebelum ini hanya bersifat jahat dan liar, apabila mereka tergamak menyatakan Orang Asli ini sekadar termakan hasutan pihak tertentu dalam mencetuskan sesuatu isu kelemahan dan salah laku pentadbiran kerajaan negeri.

“Oleh itu, pemuda Amanah Kelantan mencadangkan agar kerajaan Kelantan memohon maaf kepada seluruh rakyat atas kelemahan yang serius ini.

“Tindakan segera perlu untuk membuat ukuran semula garis sempadan tanah yang telah dicerobohi, seterusnya menyerahkan semula kawasan Ladang Rakyat yang telah diisytihar sebagai hak ‘tanah adat’ itu kepada Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Jurucakap Orang Asli, Musatafa Along ditemuramah Hazmi selepas keputusan mahkamahDi Mahkamah tinggi Kota Bharu semalam, keputusan semakan kehakiman dibuat hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz yang sekali gus turut membatalkan pembangunan Ladang Rakyat seluas 1,000 hektar oleh Kerajaan Kelantan di kawasan terbabit.

Keputusan mahkamah itu kata Hazmi, memberi indikator bahawa kerajaan Pas Kelantan telah melakukan suatu pelanggaran dan pencerobohan serius terhadap hak dan kehidupan Orang Asli di Kelantan ini.

“Sesuatu yang jelas dilarang keras dalam ajaran agama Islam,” katanya.

Lebih menghairankan katanya, apabila pimpinan Pas Kelantan masih membisu tanpa sebarang respon berhubung keputusan mahkamah itu.

“Sedangkan sebelum ini terdapat pimpinan Pas Kelantan yang dengan angkuhnya menyatakan bahawa isu ini tidak berasas dan Orang Asli sekadar mahu memburukkan kerajaan Pas sahaja,” katanya.

Bagi beliau, ini adalah suatu lagi siri kegagalan kerajaan Pas Kelantan dalam membela nasib rakyat.

“Bahkan telah menzalimi rakyat dalam isu pencerobohan tanah Orang Asli ini,” katanya.

Beliau khuatir, tragedi pencerobohan ini bukanlah kes yang terakhir, memandangkan pelbagai isu berkaitan hak milik tanah dan isu kebajikan rakyat, serta salah laku urustadbir yang masih diperkata rakyat sejak kebelakangan ini.

“Bangkai gajah manakan boleh ditutup dengan nyiru, dan kefasihan berceramah bukanlah merit jaminan tatakelola urustadbir yang baik, walaupun imejnya ditampil sebagai watak agamawan, malangnya terselit cakar disebalik helaian serban,” katanya.

Sementara itu laporan Harakahdaily hanya memetik sumber tanpa nama sebagai respon kerajaan negeri terhadap keputusan mahkamah semalam.

Laporan itu menyebut kerajaan negeri dijangka membuat rayuan ke mahkamah lebih tinggi berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengisytihar tanah lebih 23,000 ekar di Pos Belatim, sebagai ‘tanah adat’ Orang Asli.

Memetik sumber kerajaan negeri, pihaknya dikatakan akan mengadakan perbincangan lanjut keputusan kes tersebut bagi meneliti tindakan lanjut.

Lagipun kata sumber itu, pihak kerajaan negeri belum mendapat keputusan penuh daripada mahkamah berhubung keputusan itu.

“Namun apa pun ada ruang untuk membawa kes tersebut ke mahkamah lebih tinggi. Ada kekeliruan yang timbul berhubung tafsiran tanah adat,” kata sumber yang dipetik di Kota Bharu oleh portal rasmi Pas berkenaan.

TAGS