Malaysia Dateline

Kerajaan negeri guna jentera kerajaan untuk berkempen, kata Fuziah

Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mempertikaikan penganjuran Karnival Asas Tani Peringkat Pahang 2019 di Felda Sungai Koyan 1 hari ini, yang disifatkannya mengguna jentera kerajaan untuk berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands.

Fuziah, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang, berkata pengurus Felda kawasan itu telah diberikan arahan untuk mengeluarkan surat jemputan ke karnival itu bagi pihak penganjur iaitu Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perladangan dan Bioteknologi Pahang.

“Dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan juga digunakan untuk datang seperti MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) untuk menjayakan program ini.

“Saya ada bukti di mana ada surat di sini yang dikeluarkan kepada semua peneroka Felda di situ (untuk hadir ke karnival) yang diarahkan oleh exco Kerajaan Negeri tanpa pengetahuan Menteri pun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Fuziah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menasihati Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional untuk belajar daripada kesilapan lepas dan berhati-hati dalam berkempen.

Malahan, katanya, Kerajaan Persekutuan sendiri amat berhati-hati sepanjang berkempen bagi memastikan jentera kerajaan tidak digunakan.

Terdahulu, berhubung kadar bayaran tempat letak kenderaan di Cameron Highlands, calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Cameron Highlands, M. Manogaran berkata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengelirukan rakyat dengan menyatakan hanya kawasan pelancongan sahaja yang dikenakan caj parkir oleh Majlis Daerah Cameron Highlands.

Namun Manogaran berkata, terdapat juga kawasan perumahan termasuk di sekitar pekan Tanah Rata yang turut dikenakan caj itu.

“Jadi saya minta beliau jangan mengelirukan (mislead) rakyat dengan menyatakan kawasan pelancongan sahaja yang akan dicaj tetapi sebenarnya kawasan perumahan kena juga,” katanya.

PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen itu terbatal dan tidak sah, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Manogaran, Mohd Ramli Nor (BN), Sallehudin Ab Talib (Bebas) dan Wong Seng Yee (Bebas).

– BERNAMA