Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri harus kajisemula harga siling pemilikan rumah warga asing

Saranan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin supaya kerajaan-kerajaan negeri mengkaji semula harga siling yang sesuai bagi pembelian rumah oleh warga asing adalah tepat.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Keadilan Cabang Bagan Alan Oh, ketika menyampaikan sumbangan kuih sempena sambutan Deepavali kepada cabang-cabang Keadilan seluruh Pulau Pinang di Butterworth semalam.

Alan Oh

Katanya lagi, pengumuman penurunan had harga tersebut sepertimana yang dibentangkan dalam bajet 2020 baru ini merupakan salah satu tindakan positif bagi mengatasi lambakan rumah yang tidak terjual.

“Perkara ini harus dilihat dari sudut positif kerana kerajaan tidak berhasrat untuk membiarkan hartanah tersebut tidak terjual dan mencacatkan aktiviti perumahan mewah dalam negara ini.

“Sehubungan itu persepsi buruk yang ada dikalangan rakyat negara ini bahawa pemilikan warga asing akan memberi impak negatif harus diubat.

“Dari segi ekonomi dengan terjualnya hartanah tersebut, ia akan memberi pulangan yang positif setelah lambakan yang wujud, ” tegasnya.

Walau bagaimana pun kata Alan, kerajaan negeri harus peka dan mengambil insiatif dengan kadar segera saranan penurunan harga hartanah yang tidak terjual.

Yang pasti katanya, keseriusan kerajaan negeri bagi merealisasikan aspirasi kerajaan sepertimana yang dibentangkan dalam bajet 2020 baru-baru ini akan merancakkan kembali pemilikan hartanah tersebut

“Ia juga sebagai salah satu usaha kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara disamping membuka peluang yang lebih luas bagi pemaju untuk merancakkan projek pembangunan perumahan.

“Kita yakin terdapat prosidur dan peraturan yang harus diikuti oleh pemilikan asing tersebut bagi memastikan ianya tidak memberi kesan negatif kepada negara.

“Seandainya ia tidak berjaya dijual sudah pasti lambakan tersebut akan mencacatkan pemandangan sekitar kawasan terlibat setelah ianya terbiar dan kotor, ” tambah beliau yang juga merupakan Penyelaras Khas Pusat Khidmat Menteri KPKT Zon Utara.

Sejajar dengan itu katanya, kerajaan-kerajaan negeri mesti mengambil peluang sedia ada dengan mengkaji semula harga siling sepertimana yang dicadangkan.

Malah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa pembentangan bajet 2020 baru-baru ini turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600 ribu.