Kerajaan negeri jangan lengah tunaikan janji Manifesto PRU14

Kerajaan negeri jangan lengah tunaikan janji Manifesto PRU14

Semua kerajaan negeri disarankan supaya segera menunaikan janji-janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

Demikian dinyatakan oleh Naib Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Zulkiply Ishak ketika ditemui selepas pertandingan bowling AWAN dan WARDA kawasan Bagan.

Menurut beliau lagi, menunaikan segala janji yang dibuat akan memberi lebih banyak impak kepada sokongan yang akan diterima.

Zulkiply bersama peserta pertandingan bowling yang turut disertai AWAN dan WARDA kawasan Bagan.

Sehubungan itu katanya, apa jua janji-janji yang telah dilaung-laungkan sebelum ini sama ada ia kecil atau besar harus segera dilaksanakan.

“Dalam tempoh sembilan bulan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri, maka apa jua janji yang telah ditaburkan harus ditunaikan dengan semaksimum mungkin.

“Rakyat memberikan sokongan setelah yakin dengan apa yang kita nyatakan sebelum mendapat mandat.

“Maka itu menunaikan apa yang telah dijanjikan akan memberi kesan yang amat besar menjelang pilihan raya umum yang akan datang,” ujarnya lagi.

Malah katanya setakat ini kerajaan negeri Pulau Pinang telah menunaikan banyak janji-janji yang telah dinyatakan sebelum ini.

Namun begitu tegasnya, masih lagi terdapat beberapa janji yang harus diberi perhatian dengan serius untuk direalisasikan dengan kadar yang segera.

“Sebagai contoh untuk menghapuskan tol bagi motosikal telah dijanjikan oleh BN semasa PRU yang lalu.

“Walau bagaimanapun terbukti Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan janji yang dibuat oleh BN baru-baru ini dengan memansuhkan tol bagi motosikal.

“Begitu juga dengan pembelaan terhadap golongan miskin, kurang upaya, perumahan, kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan dan pelbagai lagi perkara wajib diberi perhatian serius tanpa lengah,” tambah beliau lagi.