Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri Johor fokus golongan belia miliki rumah pertama

Kesukaran golongan belia memiliki rumah sendiri menjadi sasaran Kerajaan Negeri Johor hari ini, memberikan tumpuan menyediakan rumah pertama.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan telah menyediakan Skim Perumahan Prihatin Belia yang mana ia lebih tertumpu kepada golongan belia yang mahukan rumah pertama.

“Kita akan membuat suatu kajian dan pada umumnya kajian yang diperolehi oleh Kementerian Belia adalah berkenaan sewaan yang berpatutan kepada golongan belia bukan kepada bentuk fizikal rumah.

“Kemungkinan kita akan membina semula rumah strata dua bilik semula khusus untuk golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga sebagai transit dengan sewa yang rendah sebelum mereka memiliki kediaman kekal untuk mereka.

“Kerajaan juga akan menetapkan tempoh selama 5 tahun maksimum untuk belia tersebut mendapatkan rumah kekal mereka di kediaman yang telah dibina melalui skim berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa sepanjang belia tersebut menetap di rumah transit, kerajaan juga akan menawarkan mereka untuk mengambil peluang membeli rumah Rumah Mampu Biaya (RMB) melalui kuota belia yang disediakan.

“Kerajaan juga prihatin dengan permasalahan belia dan berkemungkinan selepas ini kerajaan akan memfokuskan atau membuka lagi ruang kepada belia untuk mendapatkan kediaman melalui belian bukan lagi sewaan.

“Golongan belia ini perlu diberi perhatian selain skim-skim yang kita adakan untuk golongan lain dan inilah inisiatif kerajaan membantu golongan tersebut dalam mereka menyesuaikan diri dengan keadaan sebelum mereka berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.

“Sebelum ini juga kerajaan telah bersetuju untuk mengadakan Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) yang kita akan khususkan kepada golongan B40 dan dalam masa yang sama ilham untuk memfokuskan kepada golongan belia ini juga timbul,” katanya lagi.

Menurut beliau, Skim Perumahan Prihatin Belia Johor ini akan dibawa untuk kerajaan bentangkan dalam Belanjawan Negeri Johor 2020 yang akan datang.